'Pemimpin luar mana nak jumpa Tun M' - Anwar

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing bertemu beliau.

Anwar berkata, perkara itu tidak pernah berlaku dan dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dipertimbangkan atau dilayan.

"Jangan dilayan sangat sebab pertamanya, pemimpin luar mana nak jumpa dia? Kalau nak jumpa pun apa masalahnya? Kalau kawan dia dulu nak kenal atau nak jumpa tak ada (masalah).

"Baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia dan Turkiye tak ada yang minta nak jumpa. Kalau minta, takkan saya nak kata jangan. Jumpalah, apa salahnya?

"Hari-hari buat dakwaan, 'saya (Dr Mahathir) mana ada duit', (tapi) anak dia RM1 bilion lebih. Itu bukan pertuduhan, itu pengakuan," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengakhiri lawatan rasminya ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan dakwaan Dr Mahathir yang disekat daripada bertemu pemimpin negara asing merangkap rakan beliau sendiri kerana Anwar menghalangnya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa lagi, penyokong Anwar sendiri turut dilarang berjumpa dengannya dan bakal dikenakan tindakan jika berbuat demikian.

Tambah mantan ahli Parlimen Langkawi itu, Anwar bukan pemimpin yang boleh menerima nasihat.

Sekadar rekod, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, dua anak Dr Mahathir memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion.

@sinarharianonline Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing bertemu beliau. Anwar berkata, perkara itu tidak pernah berlaku dan dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dipertimbangkan atau dilayan. #SinarHarian #SinarTerkini #AnwarIbrahim #PemimpinLuar original sound - Sinar Harian