PRN Sabah: Harga tiket mahal, SPR disaran laksana undi pos

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) disaran untuk melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu adalah untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini layak dapat menunaikan hak mereka tanpa halangan kewangan atau logistik.

Menurut Ahli Parlimen Sepanggar itu, hak mengundi adalah asas demokrasi namun ramai rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung, Sarawak dan luar negara menghadapi kesukaran untuk pulang bagi menunaikan tanggungjawab ini.

"Harga tiket penerbangan yang tinggi terus menjadi kebimbangan rakyat Sabah, terutamanya ketika musim pilihan raya dan perayaan utama. Pada Oktober 2024, laporan menunjukkan tambang penerbangan antara Sabah dan Semenanjung boleh mencecah sehingga RM1,700.

"Mengambil kira terdapat lebih 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung sahaja namun kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik menjadi penghalang utama kepada penyertaan mereka dalam pilihan raya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, sebelum ini, pelaksanaan undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara telah diperluaskan kepada mereka yang menetap di Singapura dan selatan Thailand dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Langkah ini membuktikan bahawa sistem undi pos boleh diperluaskan demi memastikan akses yang lebih adil kepada semua pengundi.

"Oleh itu, saya menggesa agar prinsip yang sama diterapkan dalam PRN Sabah yang akan datang," katanya.

Tambah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu lagi, setakat Disember 2024, Sabah mempunyai 1.69 juta pengundi berdaftar, dengan lebih 55 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun.

"Dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik lebih ramai rakyat Sabah kini layak mengundi, bagaimanapun ramai yang mungkin terpaksa melepaskan hak mereka untuk mengundi kerana kos perjalanan yang membebankan terutamanya ribuan mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di universiti dan kolej di seluruh negara.

"Generasi muda ini terutama golongan mahasiswa perlu diberi peluang dalam menentukan pimpinan dan halatuju negeri ini mengikut perspektif dan citarasa anak muda.

"Sebagai generasi pelapis, sewajarnya pandangan mereka perlu direalisasikan dalam peti undi.

"Namun, disebabkan jadual akademik yang padat serta beban kewangan yang tinggi, ramai dalam kalangan mereka tidak mampu untuk pulang ke Sabah semata-mata untuk mengundi," katanya.