Noh Omar pertikai hasrat laksana URA

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Nasib orang Melayu di bandar bakal menjadi seperti abu di atas tunggul sekiranya Akta Pembaharuan Semula Bandar diluluskan, kata bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.

Beliau mendakwa, terdapat usaha menyingkirkan Melayu di bandar secara halus dengan mewujudkan akta berkenaan yang dilihat bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

"Kita pun tertanya-tanya apakah ulasan yang diberi oleh Jabatan Peguam Negara dan KPTG (Ketua Pengarah Tanah dan Galian)? kerana kalau kita lihat hari ini, ada undang-undang yang memang sudah sedia ada.

"Kita ada Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah, Akta Strata...salah satu undang-undang itu, undang-undang yang dipanggil akta strata ini, bawah seksyen 57, kalau nak runtuhkan rumah flat, perlu mendapat persetujuan 100 peratus daripada penghuni.

"Tapi bagaimana dalam akta yang baharu ni, tak perlu dapat 100 peratus? Jadi kalau akta ini diluluskan, akan ada kontradik dengan akta sedia ada...saya pun hairan macam mana kabinet boleh luluskan paper kabinet ini kerana bercanggah dengan undang-undang sedia ada,"katanya menerusi hantaran video di TikTok.

Sebelum ini, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.

Kerajaan juga memberi jaminan bahawa penggubalan berkenaan mampu memastikan pembangunan yang dilaksanakan adalah lebih terancang dan inklusif dengan prinsip leave no one behind, termasuk dalam melindungi hak pemilik hartanah yang terkesan.

Bagaimanapun Noh berkata, sejarah telah membuktikan selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan ketika itu menggalakkan orang Melayu dan India untuk menetap di bandar, namun kebanyakannya hanya mampu tinggal di kawasan setinggan.

Jelasnya, apabila kawasan-kawasan tersebut dimajukan, kerajaan menyediakan rumah flat dan PPR sebagai penyelesaian bagi memastikan mereka masih mempunyai tempat tinggal dalam bandar.

"Hari ini, apakah perancangan KPKT? saya lihat, mungkin dengan nasihat-nasihat daripada penasihat dari Singapura, mereka sekarang ini nak membangunkan semula rumah-rumah flat, rumah-rumah PPR ini.

"Kita tahu mereka yang duduk di PPR, flat majoriti Melayu, jadi ada yang cuba nak singkirkan mereka dari rumah dengan cara yang halus sekali,"dakwanya.

Beliau turut mengingatkan, dalam beberapa kes sebelum ini, pemaju menawarkan rumah baharu dalam bentuk kondominium kepada penghuni asal, tetapi menjadi persoalan lebih besar adalah kemampuan mereka untuk menanggung kos penyelenggaraan.

Katanya, bayaran penyelenggaraan bagi rumah kondominium kini mencecah sekurang-kurangnya RM400 hingga RM500 sebulan atau lebih.

"Mampukah mereka ini bayar? kalau tak bayar, (termaktub) bawah akta strata, rumah itu boleh disita oleh pihak pengurusan.

"Akhirnya, mereka terpaksa balik ke kampung. Ini bermakna dasar pecah dan perintah zaman British akan berulang kembali," katanya.