PH Kedah tidak terkesan sindiran Sanusi, terus kerja keras untuk rakyat

SUNGAI PETANI – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak terkesan dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan bahawa PH dan Barisan Nasional (BN) yang sedang mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti' di Kedah perlu menunggu sehingga kiamat.

Saifuddin Nasution menjelaskan, beliau tidak terganggu dengan sindiran tersebut dan menyatakan bahawa setiap individu bebas untuk terus dengan pendekatan mereka.

Beliau menegaskan, pihaknya akan terus mengatur strategi dan bekerja keras demi kesejahteraan rakyat Kedah.

"Pada akhirnya, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan rakyat Kedah. Tiada yang mustahil dalam dunia ini, selagi ada usaha yang berterusan," katanya selepas Konvensyen Perpaduan Kedah pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi bahawa mana-mana parti politik boleh mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti' di Kedah kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

Namun katanya, keputusan sama ada kerajaan sedia ada kekal memimpin atau sebaliknya bergantung pada pilihan rakyat pada pilihan raya.

"Menantilah sampai kiamat, selamat menanti, boleh pasang cita-cita. Siapa yang belum dapat (jadi kerajaan), dia akan kata kerajaan menanti. Siapa yang sudah terlepas nak kata apa, kerajaan yang hilang?” katanya.

Pada Selasa, Saifuddin Nasution mengumumkan PH dan Barisan Nasional (BN) sedang mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti' di Kedah menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, PH dan BN perlu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah ketika ini, biarpun berada di posisi pembangkang di negeri itu.