‘Pemimpin 33 bulan dahulu hanya tahu kritik, masalah tak selesai’ - PM

BESTARI JAYA - Kerajaan Madani tidak akan meminggirkan mana-mana kaum dalam soal kesejahteraan hidup, terutamanya golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun wujud dakwaan beliau hanya mementingkan kaum tertentu, khususnya Melayu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan bersifat adil kepada semua.

Katanya lagi, beliau hairan dengan sikap pemimpin terdahulu, yang hanya tahu mengkritik pentadbiran ketika ini, tetapi tidak menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu rakyat seperti kos sara hidup dan perumahan.

“Kadang-kadang yang cakap banyak, (masa) dah jadi pemimpin dahulu... ada yang banyak kaya raya... tapi asyik pergi hasut kata (saya) belum buat (tindakan selesai isu rakyat). Jadi saya tanya, masa kamu perintah kamu buat apa?

“Ada yang tunjuk perasaan marah, tetapi masa dia perintah 33 bulan (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dia tak buat apa. Satu ringgit pun tak naik (harga lantai padi)... masa kita 2023 naik, 2024 naik.

"Minggu lalu, beberapa hari lalu. Mat (Mohamad) Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) naikkan lagi daripada RM1,200 naik kepada RM1,500,” katanya lagi.

Anwar berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, di sini pada Sabtu.

PRR Harmoni Madani Bestari Jaya itu merupakan projek kerjasama antara kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).

Kos pembangunan keseluruhan bagi projek PRR tersebut berjumlah RM75 juta, melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan kerajaan negeri Selangor sebanyak RM35 juta.

Tapak tanah berkeluasan 20 ekar tersebut disediakan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB), manakala PR1MA dilantik sebagai agensi pelaksana bertanggungjawab merealisasikan projek berkenaan.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau mahu model kerjasama pemilik estet dan kerajaan dalam membangunkan perumahan pekerja.

Beliau berkata, pengurusan estet boleh menyediakan tanah bagi membolehkan kerajaan menerusi KPKT merancang pembangunan perumahan untuk kesejahteraan pekerja ladang.

PRR Harmoni Madani yang dibangunkan dengan model kerjasama tersebut, kata Perdana Menteri lagi adalah contoh terbaik.

Katanya, Berjaya Corporation telah menyerahkan tanah estet untuk kerajaan menyelesaikan isu perumahan yang membelenggu pekerja ladang sejak 27 tahun lalu.

“Projek ini mengambil masa yang agak panjang untuk dijayakan sehingga Nga Kor Ming (Menteri KPKT) berjaya berunding dengan Tan Sri Vincent Tan (pemilik tanah) yang bersetuju menyerahkan sebahagian tanah untuk projek ini,” katanya lagi. - Awani