‘Jika tiada wakil Dewan Pemuda Pas sudi, kita letak pasu bunga sahaja’ - Pemuda Amanah

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional sekali lagi menggesa Pemuda Pas untuk mengadakan sesi dialog bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh kedua parti politik tersebut.

Sekretariatnya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin mendakwa, pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada Pemuda Pas berkenaan undangan untuk berdialog dan membincangkan mengenai tuduhan berat yang dilontarkan terhadap Amanah.

Menurutnya, pihak sekretariat Pemuda Amanah telah memberi undangan dengan menghantar sendiri e-mel dan surat secara fizikal ke Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut.

“Enam hari sudah berlalu dengan sunyi, selepas undangan penuh hormat dibuat oleh Pemuda Amanah untuk berdialog terkait tuduhan demi tuduhan oleh Pas terhadap parti Amanah.

“Sudah terlalu banyak tohmahan berat dan dahsyat yang dibuat oleh mereka. Bermula gelaran Munafik Haraki, kemudian parti tajaan DAP, sehinggalah hari ini, politik label melabel oleh Pas diteruskan dan kali ini digelar pula Amanah fitnah kepada agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Pemuda Amanah mencabar Pemuda Pas untuk berdialog secara terbuka mengenai beberapa isu melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Hafiz Roslan berkata, antara isu penting yang perlu diberi perhatian adalah kestabilan ekonomi umat Islam iaitu mengenai langkah konkrit dalam memperkasakan ekonomi bumiputera dan mengurangkan jurang kemiskinan.

Dalam pada itu, Mohamed Nashrudin berkata, Pemuda Amanah tetap akan menjalankan dialog tersebut walaupun undangan berkenaan tidak diterima oleh Pemuda Pas.

“Terima atau tidak undangan kami, dialog ini akan tetap kami teruskan. Kalau bukan dengan wakil daripada Dewan Pemuda Pas, kita letak PASu bunga sahaja nanti jika tiada wakil yang sudi.

“Sebagai pemimpin generasi muda yang bakal menerajui negara satu hari nanti, Pemuda Pas seharusnya tidak lagi terikut-ikut gaya politik zaman purba. Maka itu, dengan lapang dada dan bersikap matang, ayuhlah kita ke meja dialog supaya semuanya jelas,” ujarnya.

Jelas beliau, dalam Islam, sudah menjadi tanggungjawab wajib bagi pihak yang dituduh untuk membela diri.

Tambahnya, perkara itu juga wajar bagi pihak yang menuduh memberi penjelasan dan bersemuka untuk mendengar keterangan pihak dituduh demi keharmonian sesama Muslim.

“Sesungguhnya itu cerminan akhlak orang beriman,” kata beliau.

Sinar Harian masih mencuba mendapatkan maklum balas daripada Pemuda Pas berhubung isu berkenaan.