SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kurang senang dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak membenarkan isu sijil halal diperkatakan walhal ia melibatkan sensitiviti rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Beliau berkata, malah ada pihak mentertawakan dan mendakwa masyarakat Malaysia bersikap kuno apabila membincang isu tersebut secara panjang lebar.
Menurutnya, sedangkan isu sebegitu wajar dibangkitkan namun dalam masa sama tidak menggugat kestabilan negara.
"Benda ini akan terus wujud, akan ada ham sandwich. Guna logo halal tetapi tidak dapat sijil halal sebenarnya lebih kepada pemeriksaan dan pematuhan undang-undang namun ia menjadi rumit kerana melibatkan sensitiviti.
"Satu perkataan ham dan penggunaan sijil halal menyebabkan ia sangat sensitif kepada umat Islam. Jadi saya kurang setuju apabila ada orang kata jangan besarkan isu ini.
"Misalnya kalau pemimpin cuba bangkitkan namun ada orang kata diam sahaja, saya kurang senang dengan pandangan seperti itu," ujarnya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 140 bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Sebelum ini, sampel produk sandwic ham dan keju yang didapati menyalah guna logo halal, telah dihantar ke makmal untuk dianalisa bagi mendapatkan laporan status ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Ujian itu dibuat bertujuan mengesan sama ada terdapat DNA babi dalam produk makanan berkenaan atau sebaliknya.
Terdahulu, Universiti Malaya (UM) mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui status halalnya.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan sandwic ham dan keju dijual di kedai serbaneka di UM tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia.
Sementara itu, Shahril Sufian berpendapat, syarikat yang meletakkan logo halal tanpa mendapatkan kelulusan merupakan perkara yang besar.
"Bayangkan kalau ada 'trend' main letak sahaja sijil halal bukankah ia akan merisaukan umat Islam di negara ini seterusnya menjejaskan kredibiliti cop halal itu.
"Kita tidak boleh hilang kredibiliti dan kepercayaan sijil halal, jadi penguatkuasaan dalam hal ini perlu diambil serius. Elemen kedua adalah akan mengelirukan umat Islam," jelasnya.