Jangan politikkan larangan jual arak di Ipoh - Mujahid

IPOH - MCA Perak diingatkan untuk tidak mempolitikkan isu larangan penjualan minuman keras oleh premis di kawasan majoriti penduduk beragama Islam semata-mata meraih sentimen sokongan masyarakat bukan Melayu dalam persaingan politik mereka dengan pengaruh DAP.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) jelas memaklumkan perkara tersebut akan dibincang dan diteliti sebelum dikuatkuasakan dengan mengambil kira pandangan masyarakat setempat.

"Perkara itu jelas disebut oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. MCA dan pihak lain tak perlu memutarbelitkan kenyataan ini atau membesar-besarkannya untuk selera politik sempit mereka.

"Larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu khususnya dalam Gugusan Manjoi telah ditetapkan sejak tahun 2020/2021 yang mana ketetapan itu dibuat atas desakan majoriti orang Islam dan mengambil kira isu sensitiviti pengharaman arak mengikut ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Mujahid berkata, MCA sewajarnya bersaing secara sihat untuk meraih sokongan, bukan dengan mengeksploitasikan isu sensitif seperti penjualan arak itu.

"MCA diingatkan janganlah kerana hendak membuktikan mereka lebih berani dari DAP dalam hal arak ini menjadikan isu itu sebagai pertaruhannya kerana ia berisiko menggugat keseluruhan segmen masyarakat berbagai kaum dan agama di Perak.

"Banyak lagi isu lain yang boleh dikritik untuk membangunkan Perak di bawah dasar Perak Sejahtera 2030 dan sebagai parti komponen kerajaan Perpaduan, MCA patut menyatukan rakyat berbagai kaum dan agama melalui nilai politik inklusif dan progresif serta memahami sensitiviti semua kaum dan agama secara prinsip 'rule of law'," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengajak MCA untuk sama-sama menangani isu kesan ketagihan arak yang lebih parah dalam masyarakat.

"Ketagihan arak ini boleh menyebabkan isu kesihatan, keruntuhan rumahtangga, membahayakan keselamatan di jalan raya dan keganasan rumahtangga.

"Ia lebih baik daripada memetik isu penjualan arak demi untuk meraih sokongan politik dalam persaingan segmen pengundinya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum yang telah lama terbina.

"Pemuda Amanah Perak kesal dengan sikap parti MCA yang mengambil pendekatan memecahbelahkan masyarakat dalam isu larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu itu dalam usaha untuk kekal relevan.

"MCA seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menangani isu-isu sensitif, bukannya mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik," katanya.

Ahmad Munzirie menggesa MCA supaya kembali kepada politik matang dan membina demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Rumaizi berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung bagaimanapun mempersoalkan kenapa pemimpin DAP dan PKR menafikan sedangkan ia disahkan oleh Datuk Bandar Ipoh.

Dalam kenyataan berbahasa Mandarin pada Isnin, kok Heung meminta orang ramai berwaspada dengan perkembangan itu dan mendesak supaya hak orang bukan Islam dilindungi.