SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Radzi Jidin mempersoal percanggahan kenyataan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung isu tol percuma di musim perayaan.
Beliau mendakwa, sebelum ini Alexander menyatakan Kabinet telah membuat keputusan pada tahun lalu di mana bermula 2020 hingga 2025 tidak ada lagi tol percuma di musim perayaan.
Menurutnya, Ahmad Zahid pula mengesahkan perkara tersebut dibincangkan dalam Kabinet dan telah membuat keputusan sama bahawa tol percuma tidak menyelesaikan masalah kesesakan.
"Kenyataan ini telah menimbulkan reaksi yang cukup negatif daripada rakyat Malaysia. Apakah akan ada watak seorang hero datang menyelamatkan keadaan? Kita tunggu.
"Sejak semalam, kita dihidangkan dengan beberapa babak berkaitan dengan tol di musim perayaan. Hari ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membuat kenyataan keputusan menghentikan tol percuma itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat ini," katanya menerusi video di laman sosial pada Rabu.
Sebelum ini, keputusan menghentikan tol percuma pada musim perayaan masih belum dimuktamadkan kerana ia akan dibincang dan hanya diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Fahmi berkata, pengumuman yang dibuat oleh Alexander adalah berpandukan keputusan dasar yang dibuat sebelum ini.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan memberitahu, bagaimanapun kerajaan terbuka untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak dan bersedia mengkajinya.
Dalam pada itu, kata Radzi, kenyataan Fahmi tersebut berkemungkinan setelah melihat reaksi daripada rakyat tentang pengumuman yang dibuat Ahmad Zahid dan Alexander.
"Nampak tak? Kenyataan Menteri Kerja Raya dan Timbalan Perdana Menteri semalam mengesahkan bahawa perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet.
"Apakah mungkin setelah melihat reaksi daripada rakyat, maka Fahmi pada hari ini membuat kenyataan yang mana menyatakan Kabinet akan membincangkan dalam mesyuarat pada Jumaat ini. Itu babak ketiga.
"Sahabat semua agaknyalah apakah yang akan berlaku dalam babak keempat? Apakah akan ada watak seorang hero datang menyelamatkan keadaan? Kita tunggu," katanya.