SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab kerana didakwa menyembunyikan Titah Adendum tahanan rumah yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ini kerana tindakan tersebut secara tidak langsung menghalang proses keadilan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Perbuatan itu juga dakwanya turut mengkhianati prinsip terus terang yang sepatutnya dijunjung kerajaan.
“Tindakan Anwar yang tidak konsisten dengan jawapan-jawapan sebelum ini jelas menampakkan wujudnya kelemahan ketara bagi seorang Perdana Menteri.
“Mereka yang terlibat dalam menyembunyikan Titah Addendum ini juga wajar dikenakan tindakan kerana kesalahan menyembunyikan fakta dan dokumen penting kerajaan serta sengaja menghalang keadilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Justeru, Tengku Razaleigh yang juga veteran UMNO itu menggesa Anwar untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kemelut yang berlaku.
“Biarpun UMNO berada di dalam kerajaan gabungan hari ini, kami tetap teguh berpegang kepada prinsip serta perlembagaan negara dan parti.
“UMNO Bahagian Gua Musang tidak pernah sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas membelakangi atau melanggar perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menyorok Titah Adendum.
Katanya, Titah Adendum disampaikan kepada Peguam Negara dan apabila Yang di-Pertuan Agong berganti, ia diserahkan kepada Istana Negara.
Najib yang sedang menjalani hukuman penjara dibenar memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Bekas Perdana Menteri itu mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut meluahkan kekesalan terhadap pendirian Anwar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang pernah menyifatkan perintah Adendum tersebut sebagai khabar angin.
“Kami berasa kecewa dengan sikap mereka yang sebelum ini jelas telah menafikan kewujudan Titah Adendum di dalam dan luar Dewan Rakyat.
“Namun, keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2024 jelas membuktikan bahawa Titah Adendum tersebut benar-benar wujud. Ini bermakna Anwar dan Saifuddin memberikan maklumat tidak tepat di dalam Dewan Rakyat dan boleh disabitkan dengan kesalahan mengelirukan dan membohongi anggota dewan,” jelasnya.
Tambahnya, UMNO terus menunjukkan kesetiaan terhadap perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam memutuskan bahawa Najib menjalani hukuman penjara melalui perintah tahanan dalam rumah melalui Titah Addendum bertarikh 29 Januari 2024.
“Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas bahawa tujuan parti adalah mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela kepentingan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Prinsip Kontrak Sosial dan Undang-Undang Tubuh Negeri Malaysia.
“Dengan kata lain, melalui Fasa 3 Perlembagaan UMNO, falsafah perjuangan parti ini adalah untuk melindungi rakyat, menjunjung perintah raja dan menyanjung negara,” kata beliau.