KUALA LUMPUR - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menuntut Barisan Nasional (BN) menubuhkan Majlis Pemantau Perjanjian Malaysia (MA63) bagi memastikan hak-hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya.
Ketua Wanita PBRS, Datin Zainon Kayum Khan berkata, tuntutan tersebut merupakan salah satu daripada tiga perkara yang mahu diketengahkan demi masa hadapan Negeri Di Bawah Bayu itu.
"Sebagai cadangan penting untuk Sabah dan Malaysia, PBRS juga mahu mengusulkan langkah berikut iaitu pemerkasaan ekonomi Sabah dengan pelaburan dalam sektor utama seperti pelancongan, pertanian moden dan ekonomi digital.
"Seterusnya, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih di kawasan pedalaman untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Wanita BN yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu.
Tambah Zainon, walaupun Sabah merupakan rakan pengasas Malaysia, namun ia tidak mencerminkan kepentingan negeri berkenaan di Parlimen.
Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa PBRS turut menuntut agar kerusi Parlimen untuk Sabah ditambah demi memastikan keadilan dan suara dari negeri berkenaan dapat didengari dalam penggubalan dasar negara.
"Penambahan kerusi Parlimen Sabah, merupakan hak yang tidak boleh dinafikan.
"Langkah ini juga penting untuk memperjuangkan isu-isu yang sering terlepas pandang seperti pembangunan luar bandar, autonomi Sabah dan MA63," ujarnya.
Menyentuh mengenai kepentingan wanita, Zainon berkata, PBRS mencadangkan BN menubuhkan Pusat Komuniti Wanita Luar Bandar yang berfungsi sebagai pusat latihan keusahawanan bagi kumpulan itu meningkatkan pendapatan keluarga.
Menurutnya, ia juga berperanan sebagai pusat sokongan psikososial untuk wanita menghadapi cabaran hidup dan hab rujukan pendidikan serta kesihatan bagi meningkatkan taraf hidup.
"Pusat ini bukan sekadar bangunan tetapi simbol harapan dan peluang bagi wanita Sabah keluarga daripada kitaran kesusahan serta menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negeri.
"Di Sabah, keadaan logistik, masalah infrastruktur dan kemudahan menyukarkan perancangan serta inisiatif kerajaan untuk dilaksanakan dengan lebih fokus dan menepati sasaran," jelas Zainon.