UMNO Kedah gesa PH hormati proses Lembaga Pengampunan

ALOR SETAR – Badan Perhubungan UMNO Kedah menggesa pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti bertindak seolah-olah mempunyai kuasa menentukan sama ada seseorang wajar diberikan pengampunan atau sebaliknya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu bukan untuk diputuskan melalui kenyataan politik atau perbicaraan di media sosial.

Sebaliknya, beliau berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan suatu proses yang jelas melalui Lembaga Pengampunan yang wajib dihormati semua pihak. Perkara 42 memang memperuntukkan kerangka berkaitan kuasa pengampunan dan proses Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman.

“Jabatan Penjara pula bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut. Selepas sabitan dan hukuman, Perlembagaan menyediakan suatu proses yang tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan.

“Oleh itu, permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak bukanlah suatu penolakan terhadap keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, ia juga bukan perbicaraan semula dan bukan juga rayuan politik.

“Ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan oleh Perlembagaan.

“Kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berteraskan ihsan bagi mengimbangi neraca keadilan setelah proses undang-undang selesai. Maka, tiada parti politik berhak mendahului atau cuba mempengaruhi pertimbangan tersebut dengan menentukan lebih awal siapakah yang layak atau tidak layak menerima pengampunan,” katanya.

Mahdzir berkata, lebih mendukacitakan apabila terdapat pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Najib tidak diperkenankan.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja mendahului proses Lembaga Pengampunan, malah boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap suatu pertimbangan yang sepatutnya berlangsung secara bebas dan tertib.

“Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Menghormati Perlembagaan bukan bermaksud memilih peruntukan yang disukai dan menolaknya apabila melibatkan lawan politik,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu.

Justeru, katanya, UMNO Kedah akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan.