SHAH ALAM - Cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen amat wajar diperluaskan ke Semenanjung Malaysia tanpa melengahkan proses yang sedang berjalan untuk Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, ini kerana wujud jurang yang terlalu ketara antara kawasan Parlimen.
Beliau memberi contoh, Parlimen Bangi kini mempunyai melebihi 300,000 pengundi, manakala kawasan luar bandar seperti Lenggong atau Putrajaya mempunyai bilangan pengundi yang jauh lebih kecil.
"Jurang ini perlu dipertimbangkan, kita ambil contoh peruntukan kerajaan kepada setiap parlimen sama rata, namun kawasan bandar dan pinggir bandar yang padat dengan penduduk menghadapi kekangan agihan peruntukan dan logistik perkhidmatan.
"Seorang ahli Parlimen yang mewakili 200,000 ke 300,000 penduduk berdepan cabaran yang jauh lebih besar dari segi pengurusan kebajikan dan infrastruktur berbanding kawasan yang kurang penduduk.
"Pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan pendaftaran pengundi seawal usia 18 tahun melonjakkan bilangan pemilih secara mendadak di seluruh negara, terutamanya di kawasan penempatan pesat di Semenanjung," katanya kepada Sinar Harian.
**media[3650657]**
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan akan berusaha memastikan proses persempadanan semula kawasan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dapat disegerakan, susulan persetujuan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses itu sudah bermula dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mempunyai beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum membuat kenyataan lanjut mengenai langkah seterusnya.
Menurut Young Syefura, sebagaimana Sabah dan Sarawak memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menambah bilangan kerusi, Semenanjung juga memerlukan komitmen politik dan sokongan dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan jika berhasrat menambah jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.
"SPR perlu memastikan kajian persempadanan dijalankan secara bebas, profesional, dan telus tanpa pengaruh mengikut kepentingan politik parti tertentu," ujarnya.
**media[3650658]**
Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat, isu sempadan pilihan raya negeri atau persekutuan mempunyai tempoh yang telah ditetapkan oleh SPR.
"Ia perlu dibawa untuk kelulusan Parlimen dan melibatkan pindaan perlembagaan.
"Di Semenanjung ia telah sampai masa untuk dibuat kajian namun ini bukan masa terbaik untuk dilaksanakan.
"Dalam situasi politik yang tidak stabil dan pelbagai isu kini, persempadanan akan hanya meningkatkan politik berpanjangan," ujar beliau.