SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dijangka berdepan laluan sukar kerana ia perlu melibatkan sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, jangkaan berkenaan mengambil kira perkembangan semasa politik di negara ini.
Menurut beliau, kepimpinan di peringkat persekutuan perlu membina konsensus dwipartisan yang teguh bagi meluluskan perkara tersebut.
"Kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan kerajaan akan saling berbahas untuk mempersoalkan keperluan persempadanan semula dibuat pada saat-saat akhir penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Selain itu, tempoh masa yang betul-betul singkat bagi melaksanakan prosedur persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya tiada sidang Parlimen khas atau usul persempadanan semula tidak mendapat sokongan ahli Parlimen.
"Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak pula akan menuntut atau mendesak inisiatif persempadanan semula ini dengan menggunakan perkara 161E (perlindungan perlembagaan untuk Sabah dan Sarawak yakni, peruntukan undang-undang yang memberi perlindungan khas kepada Sabah dan Sarawak supaya hak serta kuasa negeri-negeri ini tidak boleh dipinda tanpa persetujuan khas)," katanya kepada Sinar Harian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan akan berusaha memastikan proses persempadanan semula itu dapat disegerakan, susulan persetujuan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara berkenaan
Beliau berkata, proses itu sudah bermula dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mempunyai beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum membuat kenyataan lanjut mengenai langkah seterusnya.
Mengulas lanjut, Syahruddin berkata, meskipun sokongan majoriti mudah kemungkinan tidak mencukupi untuk meminda Artikel 46 Perlembagaan Persekutuan memandangkan blok pembangkang serta ahli Parlimen bebas dijangka menggunakan ruang rundingan ini bagi menuntut penyelarasan atau rombakan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung, namun agenda rundingan pemerkasaan wilayah Borneo diyakini boleh dicapai.
Ujarnya, kejayaan itu boleh dicapai sekiranya kerajaan menawarkan formula pembahagian kerusi yang seimbang serta mengelakkan persepsi pilih kasih daripada pemimpin dan wakil rakyat daripada parti politik di Semenanjung demi mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional.
Sementara itu, ditanya sama ada keputusan kerajaan meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak boleh membuka ruang kepada proses persempadanan semula lebih besar melibatkan seluruh negara, beliau bersetuju dengan perkara tersebut.
"Ahli-ahli Parlimen dari Semenanjung terutamanya di kawasan bandar berpopulasi tinggi dan dengan jurang bilangan pengundi yang amat ketara secara automatik turut sama-sama akan mendesak agar kawasan mereka turut diselaraskan.
"Ketidakseimbangan di kawasan bandar dan bandar baru sebenarnya wujud apabila sesetengah kerusi mempunyai ratusan ribu pengundi berbanding kawasan luar bandar. Ini berlaku apabila wujud bandar-bandar baharu dalam kawasan perbandaran yang menyebabkan migrasi penduduk dari kawasan lain untuk bermastautin di kawasan tersebut," katanya.
Beliau menambah, langkah memulakan inisiatif persempadanan semula kawasan pilihan raya di Borneo juga dijangka mencetuskan tekanan politik yang munasabah untuk kerajaan melaksanakan kajian semula kawasan pilihan raya secara menyeluruh di seluruh negara bagi menjamin kesaksamaan perwakilan di seluruh Malaysia.
Ujarnya, sekiranya Sabah dan Sarawak berjaya menambah kerusi, penetapan semula kawasan pilihan raya ini secara tidak langsung akan mewujudkan piawaian baharu dalam agihan kuasa politik serta bilangan keseluruhan kerusi Parlimen Malaysia.
"Proses persempadanan semula ini juga begitu jelas akan menjadi topik khusus reformasi institusi dan retorik politik yang hangat menjelang PRU16," katanya.