Pilihan raya mengejut tidak mustahil

SHAH ALAM - Tidak mustahil pilihan raya mengejut akan terjadi sebelum tamat penggal pemerintahan Kerajaan Madani, biarpun peratusannya amat rendah.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Malaysia pernah beberapa kali mengadakan pilihan raya umum (PRU) sebelum tamat penggal lima tahun iaitu pada 1982, 1986, 1990, 1999 dan 2008.

“Namun, saya jangkakan kerajaan kali ini akan menunggu sehingga empat tahun sebelum mengadakan PRU pada 2026.

“Mana-mana kerajaan yang berkuasa pasti merasai tekanan untuk menunjukkan prestasi yang baik, lebih-lebih lagi bagi Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini berada di pihak bertentangan,” ujarnya.

Tambah beliau, jangkaan bahawa PRU mungkin diadakan lebih awal akan memberi tekanan kepada kepimpinan BN-UMNO untuk membuat keputusan lebih cepat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“Selain itu, terdapat juga usaha untuk memujuk elemen-elemen tertentu dalam Pas agar meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan menyertai Kerajaan Perpaduan dengan tujuan untuk mengukuhkan sokongan undi Melayu. Jika ini berlaku, ia berpotensi menyebabkan BN-UMNO ‘merajuk’ dan membawa haluan sendiri dalam persiapan PRU16.

“Persoalan utama perlu diselesaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah sama ada BN-UMNO bersedia bertanding sebagai sekutu PH sebagai komponen yang tidak dominan dalam Kerajaan Perpaduan atau memilih untuk bersendirian demi membentuk kerajaan jika capai majoriti mudah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, pilihan raya mengejut suatu yang mungkin terjadi, tetapi perlu dipersetujui Kabinet dan kelulusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut sistem demokrasi berperlembagaan.

Kartini berkata, implikasi terbesar yang mungkin berlaku sekiranya pilihan raya mengejut diadakan adalah risiko perpecahan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Kerugian sokongan juga boleh berlaku kerana ia mencerminkan kelemahan kerajaan sedia ada yang tunduk kepada tekanan, manakala ketegangan dalaman dalam gabungan yang rapuh berpotensi mencetuskan konflik.

“Namun, terdapat juga jangkaan berbeza. Jika perhitungan dan strategi dilakukan dengan tepat, pilihan raya awal mungkin beri peluang untuk peroleh majoriti lebih kukuh dan menguntungkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Azmin Ali yang baharu dilantik melaungkan keyakinan bahawa pilihan raya mengejut akan berlaku sebelum tamatnya penggal pemerintahan Kerajaan Madani.

Mengulas kenyataan Bekas Menteri Besar Selangor itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, cadangan tersebut lebih berbentuk khusus bagi konteks dalaman Bersatu yang mana Azmin mungkin memikirkan bahawa perlunya satu motivasi dalaman untuk parti bersiap siaga dengan PRU.

“Kenyataan ini hanya pendirian dalaman parti Bersatu untuk menimbulkan rasa keperluan mendesak agar lebih fokus menghadapi pilihan raya.

“Kenyataan Azmin itu juga secara tidak langsung bertujuan untuk memancing reaksi pihak Kerajaan Perpaduan, yang mungkin akan memberi respons berdasarkan keadaan semasa bagi menjelaskan spekulasi dibangkitkan oleh pembangkang kepada rakyat,” katanya.

Malah, Abdul Aziz berkata, kebarangkalian untuk mengadakan pilihan raya awal bukan satu pilihan dan keutamaan kerajaan pada hari ini.