Azmin terima tawaran Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung yang baharu bagi parti itu.

Muhyiddin berkata, lantikan ke atas Pengerusi Bersatu Selangor itu telah dimuktamadkan dan akan diumum secara rasmi dalam masa terdekat.

“Sudah muktamad, awal dahulu pun saya sudah sebut, tetapi pada ketika itu mungkin ramai rasa betul atau tidak.

“Tetapi saya nak ulang, memang sah dan saya sudah bersetuju melantik Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang dilapor menolak tawaran bagi jawatan tersebut berikutan mahu fokus kepada PN Selangor yang diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Rentetan itu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam program Interviu bersama Sinar Harian baru-baru ini menjelaskan, tawaran dibuat setelah meneliti semua aspek termasuk sama ada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu layak untuk memegang jawatan berkenaan.

Dalam pada itu Muhyiddin menjelaskan, beliau telah bertemu dan berbincang dengan Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mengenai hala tuju dan perkara yang perlu dilaksanakan kelak.

Malah bekas Perdana Menteri itu yakin Mohamed Azmin mampu menambah baik dan mengukuhkan Bersatu serta PN, selain boleh menyelesaikan beberapa isu berbangkit sebelum ini supaya proses pentadbiran parti berjalan lancar.

“Saya sudah bertemu dan bincang hati ke hati, apa yang patut dibuat dan Alhamdulillah, beliau dengan rela bersetuju. Tiada isu lagi.

“Kita nak jadikan Bersatu sebagai satu parti contoh dari segi pengurusan dan pentadbiran, tiada rasuah dan buat kerja secara bersungguh-sungguh.

“Cuma tempoh masa umum (mungkin) selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) atau pada hari perhimpunan, saya sudah lantik beliau ke jawatan itu di samping beberapa lantikan lain seperti Ketua Penerangan, Bendahari Agung dan sebagainya,” ujar beliau.