Tiada siapa diberi mandat berunding dengan BN - Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Tiada mana-mana pihak dalam Perikatan Nasional (PN) diberi mandat untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk jajaran baharu Kerajaan Perpaduan.

Malah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan bahawa gabungan itu mempunyai kaitan dengan kenyataan yang dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung usaha memujuk partinya meninggalkan kerajaan sedia ada.

"Saya baru dengar (dakwaan Ahmad Zahid), nak tanya juga siapa orang (yang terlibat) ini.

"Kalau saya sebagai Pengerusi PN dan Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), tidak buat apa yang disebut (pujuk BN keluar kerajaan).

"Saya tidak tahu pihak lain, sama ada dari dalam atau diluar parti. Saya tidak tahu perkara yang sebenar, itu sahaja yang saya boleh kata," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, ada ahli Parlimen pembangkang yang bertemunya dan menawarkan membentuk kerajaan baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO itu turut mendakwa, ahli Parlimen terlibat meminta diberi jawatan empat menteri selain menawarkan jawatann Perdana Menteri kepada gabungan itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu walau bagaimana pun menegaskan, beliau menolak pelawaan tersebut dengan mengajak untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada.