Tak perlu berdebat, majlis tertinggi akan putuskan

KUALA LUMPUR - Calon poster boy Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan majlis tertinggi gabungan itu melibatkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu telah menjadi dasar gabungan berkenaan dalam memutuskan sesuatu perkara yang besar.

“Tak perlu berdebat (siapa calon PM), tetapi pandangan pihak tertentu itu saya hormati. Kita tidak halang sesiapa sahaja untuk menyuarakan hasrat (kerana) ia tak salah.

“Calon PM mesti yang terbaik bukan untuk parti sahaja (tetapi) untuk rakyat kerana tokoh yang akan ditonjolkan mesti ada banyak pengalaman, idea selain berjaya menunjukkan masa depan negara ke arah lebih baik supaya ekonomi lebih terjamin,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri sebagai calon tunggal PN bagi jawatan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Rentetan itu Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin pula menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Ahli Parlimen Pagoh kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan tersebut.

Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu turut dilapor berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat selain mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.

Dalam pada itu Muhyiddin berpandangan, perdebatan mengenai calon poster boy timbul berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hampir tiba dan sewajarnya gabungan itu mengumumkan calon pilihan mereka.

“Ada wajarnya buat keputusan agak awal, tak perlu tunggu PRU sahaja, walaupun yang terkait untuk menjadi Perdana Menteri adalah untuk negara, bukan Sabah sahaja.

“Tetapi kadangkala orang nak tengok adakah PN ada tokoh yang bakal menjadi Perdana Menteri, jadi kita akan fikirkan,” ujarnya.

Sementara itu ditanya sama ada perdebatan antara ahli parti gabungan mengeruhkan kerjasama antara keduanya, beliau menegaskan, perkara tersebut tidak wujud kerana PN mengamalkan sikap terbuka dalam menerima pandangan.

“Saya akan terima apa sahaja keputusan yang akan dibuat tentang siapa nak dijadikan poster boy.

“Tidak semestinya saya, kalau ada orang lain yang lebih berwibawa, dikenali dan disukai, PN akan putuskan,” katanya.