KOTA KINABALU - Spekulasi tiga nama yang disebut-sebut mempunyai kelebihan untuk dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah seterusnya.
Tun Juhar Mahiruddin yang merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-10 dilantik sejak 1 Januari 2011 bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya pada akhir tahun ini dan kekosongan tersebut akan diisi oleh Tuan Yang Terutama (TYT) yang baharu.
**media[2903192]**
Sehingga kini antara nama yang berpotensi menggantikan Tun Juhar ialah dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta bekas Speaker Dewan Rakyat yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
**media[2903193]**
Penganalisis politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Syahruddin Awang Ahmad berkata, ketiga-tiga nama yang disebut berdepan persaingan sengit.
“Amat sengit sebab orang tahu mereka adalah orang politik yang terkenal dalam kalangan masyarakat dan akar umbi masing-masing.
“Kini hanya Tan Sri Pandikar sahaja yang masih aktif dalam USNO, manakala dua lagi iaitu Tan Sri Musa dan Tan Sri Pairin sudah bersara daripada politik dan mungkin hanya meneruskannya sebagai penasihat.
“Pengalaman yang ada pada Tan Sri Pandikar sebagai Speaker Dewan Rakyat menjadi kelebihan kepada beliau berbanding dua lagi calon.
“Namun dua lagi calon iaitu Tan Sri Musa dan Tan Sri Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin agung masyarakat Kadazandusun Murut) masing-masing pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan itu pula kelebihan mereka berbanding Tan Sri Pandikar yang tidak pernah jadi ketua menteri,” katanya.
Menurutnya, antara kriteria yang dipertimbangkan menjadi TYT adalah individu terbabit pernah memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif kerajaan negeri atau ketua menteri.
“Namun Tun Juhar ketika ini tidak pernah menjadi ketua menteri, jadi ia bergantung kepada orang yang mencadangkan iaitu Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun Musa pernah diuar-uarkan sebagai pengganti TYT seterusnya namun masih belum kukuh dari perspektif politik.
“Tan Sri Pairin pula bukan beragama Islam tetapi beliau boleh dipertimbangkan kerana pernah menjadi ketua menteri.
“Jadi masing-masing ada kekuatan dan kekurangan tetapi sejarah membuktikan bahawa pelantikan TYT selalunya dibawa oleh ketua menteri,” katanya.
Beliau yang juga pakar dalam bidang Komunikasi (Perhubungan Awam Kerajaan) turut berkongsi lima kriteria pemilihan TYT yang boleh dipertimbangkan untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Pertama pelantikan itu harus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas cadangan kerajaan negeri. Kerajaan hari ini yang mencadangkan nama-nama yang dipertimbangkan untuk dilantik.
“Kedua, Agong juga merujuk kepada kelebihan setiap calon yang diajukan nama-nama ke Istana Negara dan perlu dipertonjolkan bagi setiap nama yang dicadangkan.
“Yang ketiga lazimnya, calon TYT ini dari dulu hingga kini mereka yang telah menunjukkan sumbangan signifikan kepada pembangunan negeri Sabah dan selalunya mereka dalam kalangan berkecimpung ahli politik tetapi mempunyai latar belakang sebagai penjawat awam di peringkat negeri,” katanya.
Sementara itu, kriteria keempat pula adalah calon yang boleh diangkat secara keseluruhan oleh masyarakat di negeri ini yang diketahui berbilang kaum dan agama.
“Jadi maksudnya bukan satu pihak atau satu posisi kaum atau agama sahaja yang mengangkatnya tetapi juga keseluruhan rakyat Sabah kenal dan tahu bahawa calon ini layak menjadi ketua negeri.
“Terakhir paling penting individu dicalonkan itu mempunyai pengaruh yang luar biasa sama ada dari segi, sosial, ekonomi dan politik,” katanya.
Mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, tidak dinyatakan secara jelas agama TYT, namun memandangkan agama rasmi bagi Sabah adalah Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 5 (A) Perlembagaan Negeri Sabah, ada sesetengah berpendapat secara konvensyen dan sewajarnya ketua utama negeri Sabah perlu dipilih dalam kalangan orang Islam.