SEBULAN selepas pelantikan Prabowo Subianto Djojohadikusumo sebagai Presiden Indonesia kelapan dan Gibran Rakabuming Raka, sebagai Naib Presiden ke-14 pada 20 Oktober lalu menyaksikan pelbagai reaksi penerimaan oleh rakyatnya.
Tidak kurang juga di Malaysia, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Aminurraasyid Yatiban mengakui, pelantikan Prabowo membuka peluang hubungan lebih erat dengan Malaysia.
**media[2894987]**
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak perlu bijak mengurus cabaran serta memastikan hubungan akan membawa manfaat bersama khususnya dalam perdagangan, keselamatan dan diplomasi serantau.
Ujarnya, kesinambungan dasar kerjasama menyaksikan Prabowo dijangka meneruskan dasar era Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang memperkukuh hubungan dua hala terutamanya dalam bidang perdagangan, tenaga baharu dan boleh diperbaharui, serta keselamatan maritim.
“Malaysia dan Indonesia juga mungkin bekerjasama lebih erat dalam menangani ancaman seperti keganasan dan isu global lain.
“Berikutnya, kedua-dua negara dijangka memanfaatkan hubungan baik untuk menangani isu serantau seperti Islamofobia, konflik di Myanmar dan sokongan terhadap Palestin, serta meningkatkan peranan ASEAN dalam menangani cabaran global,” katanya kepada Sinar Premium.
Bagaimanapun jelas Aminurraasyid, di sebalik hubungan akrab Malaysia-Indonesia masih terdapat beberapa cabaran yang mungkin menjadi fokus utama.
“Antaranya ialah strategi ekonomi Prabowo yang mungkin mempengaruhi sektor minyak sawit berikutan persaingan langsung antara kedua-dua negara dan tuntutan peningkatan hak pekerja migran Indonesia di Malaysia,” katanya.
Turut senada, Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, UniSZA, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, sebagai dua negara jiran yang berkongsi banyak persamaan, kepimpinan baharu Indonesia berpotensi membawa dimensi baharu dalam kerjasama dua hala.
**media[2894991]**
Walau bagaimanapun, kepimpinan Prabowo mungkin membawa pendekatan lebih strategik dan tegas, sejajar dengan latar belakang beliau sebagai seorang bekas pemimpin tentera.
“Kepimpinan Prabowo yang pragmatik dan Malaysia yang sentiasa bersedia berunding juga membuka ruang untuk kemajuan dalam pelbagai bidang.
“Walaupun mungkin terdapat perubahan pendekatan, asas hubungan dua hala yang kukuh memberikan keyakinan kedua-dua negara akan terus berusaha mencapai matlamat bersama demi kestabilan, kemakmuran, dan kesejahteraan serantau.
“Misalnya, sebagai dua kuasa utama dalam ASEAN, Malaysia dan Indonesia boleh memperkukuh peranan organisasi serantau ini dalam isu-isu global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan, dan transformasi digital,” katanya.
JAMBATAN DUA KELOMPOK
Sementara itu, Wakil Rektor Universiti Profesor Dr Moestopo (Beragama) Indonesia, Dr Ryantori berkata, pelantikan Prabowo mewujudkan reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat namun secara umum respons yang diberi bersifat normatif.
**media[2894989]**
“Respons positif berasal dari parti politik dan juga dari kelompok yang selama ini menyokong pasangan tersebut hingga menang dalam pemilihan umum lalu.
“Untuk respons negatif, ia datang dalam kalangan mahasiswa, aktivis, dan ahli akademik yang kritis tetapi tidak terlalu banyak,” katanya ketika dihubungi.
Ujarnya, gandingan Prabowo-Gibran merupakan duo yang menampilkan perpaduan antara golongan tua dan muda yang diharapkan dapat mewakili suara generasi masing-masing.
**media[2894988]**
“Gandingan bekas jeneral tentera dan anak sulung Jokowi itu juga sebuah perpaduan latar belakang ketenteraan dan sivil yang diharapkan dapat menjadi jambatan antara dua kelompok berkenaan yang kadangkala berselisih faham.
Ditanya sejauh mana perubahan yang boleh dijangka dalam cara pentadbiran negara berbanding pentadbiran presiden terdahulu, beliau berpendapat, satu hingga dua tahun pertama pemerintahan ini, secara domestik akan berjalan dalam pola seperti masa pemerintahan Jokowi-Ma’ruf Amin.
Lanjut beliau, gandingan Prabowo-Gibran turut mengakui masih banyak permasalahan domestik yang harus diselesaikan terlebih dahulu.
“Bermula dari isu kemiskinan, kekurangan gizi, hingga masalah pendidikan. Ini ditambah ketidakseimbangan penguatkuasaan undang-undang dalam kalangan masyarakat serta peningkatan kes penyalahgunaan dadah dan rasuah.
“Hal ini menyebabkan Kabinet Merah Putih mempunyai komposisi besar terdiri daripada menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap pelbagai kementerian sedia ada dan baharu,” ujarnya.
Dari sudut antarabangsa, Ryantori berpendapat akan ada langkah penting seperti agenda menyertai BRICS yang sebelum ini disuarakan Menteri Luar Negeri, Sugiono.
“Presiden Prabowo dalam ucapan pelantikannya pada 20 Oktober lalu juga mengingatkan Indonesia merupakan sebahagian dari negara G20 dan tersenarai sebagai ekonomi ke-16 terbesar dunia.
“Selain itu, beliau sepertinya akan semakin tegas memberikan sokongan kepada Palestin, dengan mengingatkan bahawa Mahkamah Antarabangsa telah memberikan ultimatum kepada Israel untuk keluar dari wilayah yang didudukinya dalam tempoh setahun akan datang,” ulasnya.
Menurut pemerhati hubungan antarabangsa itu, kelangsungan program kerja negara sangat penting untuk menjaga kredibiliti pemerintahan apatah lagi program melibatkan kerjasama dengan negara luar.
**media[2894990]**
“Tempoh 100 hari Kabinet Prabowo akan menentukan respons positif atau negatif yang akan diterima dari dunia antarabangsa,” katanya.
Bagi hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia, Ryantori berkata, pentadbiran Prabowo-Gibran juga bakal menyentuh beberapa isu kritikal melibatkan kepentingan dua negara.
“Ketika masih memegang jawatan Menteri Pertahanan, Prabowo mengatakan bahawa pemerintah Indonesia dan Malaysia komited menyelesaikan sengketa berhubung blok Ambalat (blok lautan di Laut Sulawesi) menerusi pendekatan persahabatan dan kekeluargaan.
“Saya berpendapat, ini akan menjadi salah satu keutamaan luar negeri Prabowo berkaitan Malaysia, di samping permasalahan pekerja migran Indonesia dan pencemaran asap kebakaran hutan kelapa sawit,” katanya.
Dalam pada itu, untuk konteks Asia Tenggara, Prabowo dilihat akan terus meningkatkan komitmen Indonesia-Malaysia untuk memperkukuh stabiliti bagi kemajuan bilateral dan serantau.