SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menghadapi pelbagai cabaran untuk memenangi kes samannya terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Bersatu sukar mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat kerana tindakan lima bekas ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri tidak tertakluk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan (tafsiran lompat parti).
Beliau menjelaskan, Bersatu tidak mempunyai merit untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat kerana Perkara 49A tidak terpakai kepada Perkara 43(2) iaitu berkaitan tindakan mana-mana ahli Parlimen yang beralih sokongan majoriti kepada Perdana Menteri.
**media[2894973]**
Ujarnya, pindaan Perkara 10.14 hingga 10.16 Perlembagaan Bersatu dilakukan selepas kerajaan melakukan pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pindaan Perlembagaan Bersatu berkenaan juga tidak terpakai kerana dibuat selepas enam bekas wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Saya berpandangan Bersatu bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ranjau berduri untuk memenangi semakan kehakiman ini termasuklah sama ada permohonan Bersatu ini akan didengar atau tidak oleh mahkamah.
“Apabila didengar, adakah Bersatu akan menang? Bagi saya kalau mahkamah benar-benar ikut konsep keadilan perundangan dan kehakiman, maka Bersatu akan gagal. Namun itu hak Bersatu untuk lawan kes semakan kehakiman berhubung keputusan Speaker Dewan Rakyat di Mahkamah Tinggi,” katanya kepada Sinar Premium.
Sementara itu, bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berpandangan, Bersatu berhak mengemukakan saman terhadap Johari berikutan keengganannya mengisytiharkan lima kerusi milik ahli Parlimen Bersatu kosong.
Pandikar Amin juga melihat Bersatu berhak berbuat demikian kerana berpandangan keputusan Johari itu bertentangan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa 5 Oktober 2022.
Bagaimanapun, Pandikar Amin berkata, Johari mungkin berbuat demikian kerana tiada keperluan untuknya mengosongkan lima kerusi terbabit susulan perbuatan mereka tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti.
“Jadi sesiapa pun boleh membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat ke mahkamah, tiada sesiapa pun boleh menghalangnya. Ini kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, sesiapa saja berhak mengemukakan saman terhadap sesiapa atau membuat semakan kehakiman di mahkamah.
“Jadi tugas mahkamah sekarang adalah untuk menentukan sama ada Johari berhak atau tidak untuk menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan kerusi milik ahli Parlimennya yang sudah bertukar sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Madani sekarang,” jelasnya.