Rasuah RM2.8 juta: Imej, integriti Bung Moktar terjejas

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta secara umumnya menjejaskan imej dan integriti beliau sebagai pemimpin rakyat.

Felo Penyelidik Bersekutu, Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, ia berdasarkan budaya masyarakat Malaysia yang gemar menghakimi individu walaupun keputusan sebenar belum ditentukan oleh mahkamah.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks politik Sabah Bung Moktar dilihat masih mempunyai keupayaan untuk bertahan sebagai ahli Parlimen di negeri tersebut.

“Politik Sabah ini tidak sama dengan Semenanjung. Biasanya kalau kes sebegini Semenanjung kita boleh kata game over tetapi di Sabah dan Sarawak lain.

“Kebergantungan rakyat di sana terhadap pemimpin politik lebih kuat berbanding di Semenanjung.

“Mungkin di Semenanjung kita ada banyak calon, kalau calon sekarang terlibat kes rasuah, boleh lantik orang baharu namun di Sabah tidak begitu. Mereka akan membuat pertimbangan terlebih dahulu, adakah pemimpin itu masih boleh berkhidmat kepada rakyat atau tidak, baru buat keputusan,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Bung Moktar dan Zizie Izette diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ini bermakna Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya itu terpaksa menjejakkan kaki ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.

Tambah Muhammad Afifi, dalam dunia politik sebarang keberangkalian boleh berlaku tanpa dijangka.

“Saya rasa ia bukan penamat sebaliknya beliau masih ada peluang sebab dalam politik kita boleh mati banyak kali.

“Lagipun di Sabah, ini bukan kes rasuah pertama namun individu berkenaan masih mampu bertahan. Bukannya rakyat tidak tahu tetapi tetap memilih orang sama,” ujarnya.