ADUN Pasir Bedamar tawar diri tanding Ketua DAPSY

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong yang menyertai DAP sejak 2014 menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pada pemilihan yang akan berlangsung pada 17 November ini.

Kah Leong berkata, berpaksikan slogan 'Kekalkan Perjuangan Parti, Martabatkan Generasi Muda', pasukannya terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang bagi membolehkan perwakilan DAPSY membuat pilihan terbaik.

Menurutnya, daripada 22 calon bertanding, hanya tujuh daripadanya terdiri dalam kalangan wakil rakyat.

"Ini menunjukkan DAPSY juga merupakan platform terbaik untuk generasi muda DAP, membolehkan mereka yang bukan dalam kalangan wakil rakyat menzahirkan pendirian politik.

"Selain itu, terdapat juga tujuh calon wanita yang menunjukkan DAPSY merealisasikan kuota wanita sebanyak 30 peratus selari dengan slogannya.

"Kami akan terus berusaha untuk mencecah 40 peratus, 50 peratus dan lebih banyak pada masa depan," katanya ketika sidang akhbar di ibu pejabat DAP pada Isnin.

Menerusi sidang akhbar itu, ADUN Balakong, Wayne Ong diperkenalkan sebagai calon Timbalan Ketua DAPSY sementara Louis Lim Chun Weng sebagai calon Setiausaha DAPSY.

Empat calon Naib Ketua ialah Nancy, Tang Szu Ching, Raja Ahmad Iskandar dan Linesh.

Sementara 15 ahli jawatankuasa (AJK) yang akan bertanding termasuk calon wanita seperti Heng Sue Heen, Yap Yee Vonne, Kusaaliny, Nursyaheera dan ADUN Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.

Kah Leong berkata, pasukannya menawarkan empat dasar utama atau manifesto untuk dijadikan hala tuju DASPY yang akan ditumpukan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ujarnya, jika diberi mandat,satu jawatankuasa khas diketuai Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti akan ditubuh untuk meneliti segala usaha memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

"Dasar kedua, DAPSY bertekad untuk menyatukan sistem kemasukan universiti.

"Pada kini ada persepsi bahawa pelajar matrikulasi lebih mudah memperoleh kursus yang diingini dan pelajar Tingkatan Enam pula tidak mudah memasuki universiti selepas menamatkan masa dua tahun.

"Ketiganya, pimpinan DAPSY baharu juga bertekad untuk merancakkan program pendidikan politik parti.

"Keempat, DAPSY mesti membantu parti dalam menarik bakat muda untuk menyertai parti dan memastikan anak muda sentiasa menjadikan DAP sebagai pilihan utama," katanya.