Hajiji pemimpin rendah diri, mesra rakyat dan tegas

KOTA KINABALU - Wakil-wakil rakyat yang sudah lama mengenali Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menyifatkan Ketua Menteri Sabah yang baharu itu sebagai seorang yang merendah diri namun tegas menggalas kepercayaan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu seorang pemimpin yang sentiasa tenang.

Menurut Mohd Arifin yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, ketegasan Hajiji itu dapat dilihat menerusi kredibilitinya memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat, khususnya di kawasan diwakilinya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.

“Beliau (Hajiji) seorang pemimpin yang baik dan sentiasa terbuka. Selain itu, beliau juga tegas dalam hal-hal kebenaran kerana ingin memastikan kepercayaan rakyat terus dipelihara,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis jamuan pagi bersama ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di sini hari ini.

Pada majlis itu, semua ADUN GRS berkumpul sebelum bergerak bersama-sama menuju ke Istana Negeri bagi menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah Ke-16, pagi tadi.

Sementara itu, ADUN Tanjung Keramat, Ir Shahelmei Yahya berkata, beliau mengenali Hajiji sebagai seorang pemimpin yang ramah dengan rakyatnya selain sangat objektif terhadap tanggungjawab serta kerja-kerja beliau.

“Prinsip perjuangannya sangat konsisten. Bagi saya, pemilihan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu adalah sangat tepat dan pemimpin (ketua) yang sesuai dalam konteks Sabah baharu,” kata Shahelmei yang juga antara pemimpin muda dalam UMNO Sabah yang berjaya merebut kerusi DUN dalam pilihan raya negeri Sabtu lepas.

ARTIKEL BERKAITAN Hajiji sah KM Sabah, Bung Moktar Timbalan

ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim pula yakin Hajiji mampu membawa Sabah ke tahap lebih baik berdasarkan pengalaman luas dalam bidang politik selain pernah menggalas beberapa portfolio penting dalam Kabinet negeri.

“Hajiji adalah seorang pemimpin prihatin, bekerja keras dan sentiasa mengambil berat tentang rakyatnya,” kata Jahid, yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS).

Senada dengan Jahid ialah ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, yang bersyukur Hajiji dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, sekali gus berharap kerajaan negeri baharu dapat terus bekerja keras demi manfaat rakyat.

“Kita mahu pemimpin baharu yang dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji turut dizahirkan ADUN Sugut, Datuk James Ratib yang berpendapat pengalaman dimiliki beliau adalah kelebihan dan kekuatan untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri hari ini dan akan datang.

ADUN Sook, Datuk Ellron Angin pula berpendapat, Hajiji faham dan tahu tentang masalah dihadapi penduduk di bandar dan luar bandar Sabah.

“Saya telah lama mengenali beliau. Selain sentiasa merendah diri, beliau juga seorang pemimpin yang fokus dalam menjalankan tugas,” katanya.

Hajiji yang juga Ketua Bersatu Sabah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selepas mendapat persetujuan daripada semua kepimpinan parti gabungan dalam GRS untuk beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada Sabtu, Hajiji berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman yang disandangnya sejak 1990 dengan majoriti 3,099 undi. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji dipanggil menghadap TYT Sabah

Pelantikan Hajiji dibuat secara konsensus, kata Annuar Musa

Bung sokong Hajiji jadi KM Sabah