PH berhasrat terus bekerjasama dengan BN di Melaka - Mahfuz

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) berhasrat meneruskan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) yang terjalin sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, PH tidak mempunyai halangan untuk mencari jalan meneruskan kerjasama yang terjalin dengan BN sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tidak ada halangan untuk mencari jalan bagaimana kerjasama yang telah pun terjalin selama ini selepas pilihan raya umum lalu dapat diteruskan.

“Kita berhasrat untuk meneruskan amalan dan budaya ini yang sangat baik tetapi terpulanglah kepada UMNO dan BN untuk melihat tentang kepentingan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka secara rasmi dibubar pada Rabu bagi memberi laluan kepada PRN sekali gus menjadikan negeri bersejarah itu medan seterusnya untuk parti-parti politik merebut mandat rakyat selepas Johor dan Negeri Sembilan.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, landskap politik berubah selepas PRU15 apabila pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan turut menyaksikan PH menyertai pentadbiran Melaka termasuk dalam barisan Exco, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

Bagaimanapun, katanya, PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya UMNO dan BN memilih untuk bergerak solo atau menjalin kerjasama dengan pihak lain pada PRN Melaka kali ini.

“PH bersedia jika UMNO-BN mahu pergi solo atau pergi dengan pilihan lain seperti mana yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.

“Kalau keadaan ini berlaku, kita tidak ada pilihan melainkan mencari mana-mana rakan yang bersedia untuk bersama dengan PH,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, Pengarah Pilihan Raya PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengetuai rundingan dengan pihak yang bersedia membentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka.

Kata beliau, landskap politik semasa tidak lagi memungkinkan sesebuah parti atau gabungan hanya bergantung kepada kekuatan sendiri sebaliknya memerlukan kerjasama politik dalam pelbagai bentuk.

Mahfuz turut menjangkakan rundingan bagi menghadapi PRN Melaka akan mula digerakkan dalam masa terdekat.

“Saya percaya apabila sudah berlaku pembubaran hari ini, bermakna rundingan itu akan dilakukan (segera). Politik memang begitulah, ia sentiasa bergerak pantas,” kata beliau.