Pendaftaran PN digantung, bukan dibatalkan - RoS

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menegaskan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan itu kini dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.

RoS dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dan memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.

Tegas jabatan itu,  notis tersebut bertujuan untuk meminta PN memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Parti 

Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS.

"Notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran," katanya pada Khamis.

Jelas RoS, perintah penggantungan itu bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.

Perkembangan itu susulan aduan Bersatu kepada RoS berkaitan beberapa isu membabitkan kedudukannya dalam PN.

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan mengemukakan aduan rasmi kepada RoS berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu selain isu status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut meminta RoS membuat keputusan segera berhubung aduan tersebut.

Bersatu juga mendakwa terdapat beberapa perkara yang berlaku dalam PN bertentangan dengan aturan pertubuhan gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, RoS menyeru semua pihak agar merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh jabatan serta mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.