Notis RoS: Pas, komponen PN teliti langkah wajar

PUTRAJAYA – Pas akan bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang bertanggungjawab untuk meneliti dan mengambil segala langkah yang wajar susulan notis tunjuk sebab dan perintah penggantungan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap gabungan itu.

Menerusi kenyataan, Pas memaklumkan, langkah berkenaan akan dibuat berdasarkan prinsip musyawarah dan akauntabiliti serta mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Pas juga akan bersama-sama parti komponen dalam PN yang bertanggungjawab bagi meneliti dan mengambil segala langkah yang wajar mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan terutamanya Akta Pertubuhan 1966 bagi memenuhi matlamat dan objektif penubuhan dan perjuangan PN,” katanya pada Khamis.

Menurut Pas, pihaknya mendapat maklum mengenai notis tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari bertarikh 22 September 2026 yang dikeluarkan ROS terhadap PN di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].

Notis berkenaan dikeluarkan susulan aduan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Pas yakin notis dan perintah yang dikeluarkan pada tarikh yang sama dengan pengumuman dan pembubaran DUN Melaka itu akan diuruskan mengikut peruntukan undang-undang dan proses perundangan sewajarnya oleh PN," jelasnya.