Pendedahan Shamsul Iskandar: Pembangkang gesa tubuh RCI, peguam kata tiada isu perundangan

SHAH ALAM - Pemimpin pembangkang meminta Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa beliau tidak mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk Parlimen Bagan Datuk selepas menerima arahan daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tindakan Shamsul Iskandar itu menyebabkan beliau kalah majoriti tipis 348 undi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun selepas itu ia didakwa membuka jalan kepada Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan bersama UMNO.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penubuhan RCI perlu berikutan pendedahan mengejutkan yang keluar sendiri dari mulut bekas Ketua Penerangan PKR itu dalam satu program audio siar baru-baru ini.

**media[2851625]**

Tuan Ibrahim berkata, pendedahan Shamsul Iskandar itu membuktikan dakwaan perancangan itu sudah dibuat oleh Anwar dan Ahmad Zahid lebih awal.

“Shamsul Iskandar sepatutnya bertegas dengan meneruskan pengiraan semula kerana dari sudut moral keputusan tersebut jelas membelakangkan hak yang sepatutnya dilaksanakan.

“Saya juga melihat kenyataan beliau lahir daripada kekecewaan terhadap keputusan tidak meneruskan pengiraan semula kerana telah ada kesepakatan sebelum itu dan UMNO tidak perlu menyerangnya,” katanya.

Shamsul Iskandar sebelum itu dalam satu temubual podcast Apa Cerita? bersama Asyraf Khalid mendakwa Anwar mengarahkan beliau untuk tidak membuat kiraan semula walaupun terdapat kira-kira 800 undi rosak dalam keputusan Parlimen Bagan Datuk pada PRU15 lalu.

Katanya lagi, arahan itu supaya kerajaan dapat dibentuk melalui kerjasama dengan UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid.

**media[2851716]**

Video temubual tersebut tular sehingga mendapat kritikan daripada pemimpin UMNO antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said yang meminta Shamsul mengelakkan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan.

Tidak ketinggalan Exco Wanita UMNO yang juga anak Zahid, Datuk Nurulhidayah pula menyindir Shamsul sebagai berhalusinasi.

“Kira sekarang ni kau nak kata kaulah korban diri untuk bergabung?” soalnya di media sosial.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, setakat ini pembangkang tiada perancangan untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen bagi mengukur sama ada Anwar masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya susulan pendedahan Shamsul Iskandar terbabit.

HANYA IKUT ARAHAN PRESIDEN

Dalam pada itu, pakar undang-undang dan peguam, Haniff Khatri Abdulla pula menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat pendedahan Shamsul Iskandar kerana perbuatan itu tiada kaitan dengan soal perundangan atau satu perbuatan jenayah, sebaliknya lebih kepada kesalahan dari segi moral seorang pemimpin politik.

**media[2851627]**

Haniff Khatri berkata, ini kerana Shamsul Iskandar hanya mengikut arahan parti dan presidennya supaya jangan meneruskan bantahan dan membuat pengiraan semula undi bagi Parlimen Bagan Datuk semasa PRU15 lalu.

“Kalau pun Anwar memaksa Shamsul Iskandar supaya tidak meneruskan pengiraan undi semula sekali pun, perkara itu bukan urusan Suruhan Pilihan Raya (SPR). Sebab itulah saya katakan ini bukan masalah perundangan tetapi lebih kepada soal moral.

“Ini bukan kerana Anwar meminta Shamsul Iskandar supaya jangan meneruskan pengiraan semula undi tetapi apa lebih penting adalah ia kerana PH mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO,” katanya.