'Kerajaan sendiri tak patuh Akta Anti Lompat Parti'

SHAH ALAM - Keterbukaan kerajaan untuk menerima sebarang cadangan tambahan Akta Anti Lompat Parti hanya sekadar ‘kosmetik’ atau kata-kata sedangkan mereka sendiri tidak mematuhi undang-undang negara.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia terbukti apabila melibatkan isu pemecatan enam ahli Parlimen yang merupakan bekas ahli Bersatu tidak ditakrifkan sebagai lompat parti sehingga mereka perlu mengosongkan kerusi masing-masing ketika itu.

“Kita nampak semangat daripada kerajaan untuk menghormati perlembagaan, namun jika tidak dipatuhi ia akan menjadi sia-sia kerana perkara yang paling penting adalah keluruhan perlembagaan.

“Saya nampak bahawa kenyataan menteri itu hanya sekadar ‘kosmetik’ tetapi yang paling penting adalah pelaksanaannya,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum itu, kerajaan terbuka untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan Akta Anti Lompat Parti bagi membolehkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dibincang dengan teliti sebelum diusulkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, ketika ini Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diwartakan pada 6 September 2022.

Akta tersebut katanya telah berkuat kuasa mulai 5 Oktober 2022 dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebahagiannya melibatkan peruntukan Perkara 49A iaitu berkenaan larangan lompat parti.

Tambah Ahmad Fadhli, ia berbeza dengan negeri Kelantan apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah boleh membuat keputusan sebaliknya.

“Kalau kita lihat peruntukan undang-undang dan enakmen adalah sama tetapi amalan di Kelantan berlainan dan itu diperakui mahkamah.

“Kita sedia beri cadangan tapi kalau tidak mematuhi undang-undang, ia hanyalah sia-sia,” jelasnya.