Belanjawan 2025 tumpu aspek kritikal perkukuh ekonomi negara

PUTRAJAYA - Belanjawan 2025 dijangka memberi tumpuan terhadap empat aspek kritikal dalam usaha untuk memperkukuh ekonomi negara, kata penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan.

Menurutnya, empat aspek tumpuan itu ialah pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), peningkatan infrastruktur dan pelaburan teknologi hijau, penambahbaikan pendidikan teknikal serta bantuan sosial dan kebajikan.

“Sektor IKS dijangka terus menjadi fokus utama kerana ia merupakan tunjang kepada ekonomi Malaysia, terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan dan merangsang inovasi,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan dijangka memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu IKS, termasuk skim pinjaman mudah dan geran khas untuk digitalisasi serta automasi.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan kelangsungan IKS yang terkesan akibat peningkatan kos operasi dan keperluan untuk bersaing dalam ekonomi digital,” jelasnya.

Mohamad Khair berkata, kerajaan juga berkemungkinan besar akan memperuntukkan dana lebih banyak untuk memperbaiki infrastruktur asas seperti jalan raya, pengangkutan awam dan pembangunan bandar pintar menggunakan teknologi mesra alam.

Pada masa sama, pelaburan dalam teknologi hijau seperti tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan karbon akan diperkukuhkan.

“Ini bukan sahaja sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap perubahan iklim global tetapi juga akan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor-sektor baharu yang berpotensi tinggi,” kata beliau.

Menurutnya, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) turut dijangka mendapat perhatian dengan jangkaan peruntukan lebih banyak dana bagi program latihan teknikal.

“Ini amat penting dalam usaha memastikan tenaga kerja Malaysia mampu bersaing dalam industri yang semakin canggih dan berasaskan teknologi.

“Program TVET yang komprehensif akan membantu menangani masalah kekurangan pekerja berkemahiran tinggi, terutamanya dalam sektor teknologi dan kejuruteraan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bantuan sosial dan kebajikan tidak akan disisihkan malah menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2025

“Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan mungkin akan menambah baik bantuan kewangan kepada golongan B40 dan M40, termasuk menyalurkan bantuan kewangan langsung.

“Subsidi barangan keperluan seperti telur dan minyak masak juga akan diteruskan bagi memastikan harga barangan asas kekal stabil.

“Ini penting bagi memastikan golongan yang terkesan akibat inflasi terus menerima sokongan yang mencukupi bagi menampung kehidupan seharian mereka,” katanya.

Selain itu, beberapa aspek penting yang berkait rapat dengan isu fiskal dan subsidi dijangka disentuh kerajaan.

“Antaranya rasionalisasi subsidi petrol RON95, yang mana kerajaan merancang untuk memperkenalkan subsidi bersasar.

“Ini bertujuan mengurangkan ketirisan yang selama ini banyak dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan tinggi, terutama T20, yang menyumbang lebih 30 peratus penggunaan RON95.

“Pelarasan subsidi ini dijangka memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40 yang lebih memerlukan sokongan ekonomi, selain membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan subsidi,” jelasnya.

Ujar Mohamad Khair, dari sudut inflasi, pelarasan subsidi bahan api ini dijangka memberi kesan jangka pendek dalam bentuk kenaikan kos sara hidup kerana bahan api menyumbang kepada peningkatan harga barang.