PN akan tumbangkan kerajaan melalui demokrasi - Muhyiddin

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) berikrar hanya akan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melalui saluran demokrasi dan ia perlu dimulakan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan hari ini gusar dan takut 'ditumbangkan' dan ia menjadi punca beliau diheret menghadapi dakwaan di mahkamah berkait ucapannya sebelum ini.

Justeru tegas beliau, manifestasi penolakan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) wajar dimulakan dengan memenangkan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar pada 28 September ini.

"Dia (Kerajaan Perpaduan) gusar. Apa salah saya?

Apa yang takut dengan saya? Saya manusia ja, bukan harimau ke ataupun dia takut tumbang?

"Jadi kalau dia fikir, sayalah orang yang mampu boleh menumbangkan, terima kasihlah kerana dia takut kita (PN).

"Doalah, suatu hari kita akan tumbangkan mereka.

Tumbang menerusi sistem demokrasi dalam peti undi, boleh tak?

"Nak mulakan di mana?

Mulakan di Mahkota, bantu calon kita mencapai kemenangan yang hebat.

Bagi mesej pada dia bahawa apa saja yang mereka lakukan rakyat tidak akan sokong.

"Time is up to Anwar to go (masa sudah sampai untuk Anwar 'pergi'), tapi kita kena buat secara yang tertib ikut undang-undang negara," katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor 2, di sini pada Jumaat.

Pada 2020, politik negara digemparkan dengan peristiwa 'Langkah Sheraton' iaitu perpindahan kem politik oleh ahli Parlimen dan parti politik sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan PN.

Langkah Sheraton bermula apabila 11 ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas, selain keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk keluar daripada gabungan PH.

Ia sekali gus menamatkan pemerintahan PH selepas gabungan itu mencipta sejarah dengan menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.