PRK Mahkota: Pengundi luar jangan ambil lewa, tak pulang mengundi

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Pengundi luar terutama anak muda tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap kepentingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September nanti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, walaupun PRK DUN Mahkota tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri mahupun Persekutuan namun tetap penting untuk memastikan masa depan penduduk terbela.

"Pengundi luar terutama pengundi muda, jangan sesekali timbul pandangan PRK ini tak penting. Mereka perlu ingat, walaupun berada di luar, tetapi mereka menentukan nasib ahli keluarga mereka yang berada di sini.

"Sekiranya mereka tidak balik dan yang menang nanti adalah calon yang tidak boleh bekerja, yang kasihan adalah ahli keluarga mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pertandingan Memancing Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Muhamad Akmal yakin dengan kemampuan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah untuk membela nasib dan membawa suara penduduk DUN Mahkota ke sidang DUN Johor sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kelak.

Ditanya berkenaan sokongan jentera Wanita UMNO berikutan desas-desus rasa tidak puas hati kerana kerusi itu tidak diwarisi kepada sayap parti berkenaan, Muhammad Akmal menjelaskan sokongan diterima setakat ini cukup baik.

Muhamad Akmal berkata, pihaknya sangat bertuah kerana jentera Wanita UMNO begitu bersungguh-sungguh membantu kempen memenangkan calon Pemuda UMNO berkenaan.

"Kita menerima sokongan yang sangat bagus dan sangat baik bukan hanya daripada jentera Wanita UMNO di Bahagian ini, malah dari seluruh negara yang bermati-matian berkempen untuk calon kita.

"Tanpa jentera Wanita UMNO ini saya rasa tidak mungkin untuk dapat memastikan kemenangan calon kita," katanya.


Pemuda UMNO gerak bantuan banjir ke Kedah

KLUANG - Kesibukan Pemuda UMNO berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak menghalang sayap parti menggerakan ahlinya ke Alor Setar, Kedah bagi membantu mangsa banjir.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pasukan disertai 50 ahli Pemuda itu bergerak pada ke Kedah dari Mahkota pada malam Sabtu.

"Barangan kebersihan diri dan makanan ringan bernilai kira-kira RM20,000 akan dibawa untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat penempatan sementara (PPS).

"Selain itu, peralatan pembersihan juga dibawa untuk membantu membersihkan rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat banjir," katanya.

Beliau ditemui pada program Pertandingan Memancing Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu Mohamad Akmal turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir, ketika ini.

“Kita mengambil tanggungjawab untuk membantu tidak kira siapa pun yang terkesan akibat bencana ini seperti mana yang kita lakukan di Kelantan, Pulau Pinang, malah di Johor sebelum ini.

“Walaupun kita sibuk di sini, kita tidak boleh tinggalkan sahabat-sahabat kita di Alor Setar sebab bencana banjir kali ini turut melibatkan enam bahagian Pemuda UMNO," katanya

Setakat petang Jumaat, seramai 3,904 mangsa melibatkan 1,158 keluarga terjejas akibat banjir di tujuh daerah di Kedah dan ditempatkan di sebanyak 29 PPS.