Tiada Kerajaan Perpaduan, BN hormat mandat rakyat Johor

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) enggan membentuk Kerajaan Perpaduan di Johor kerana yakin kerajaan negeri mampu bertahan sehingga akhir penggal biarpun tanpa kerjasama atau pembabitan Pakatan Harapan (PH).

Tindakan BN juga selari dengan mandat diberikan rakyat yang menyaksikan mereka menang 40 kerusi atau lebih dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 lalu.

Justeru, Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengekalkan status pemerintahan parti tunggal berbanding Kerajaan Perpaduan boleh dianggap sebagai tindakan menghormati keputusan PRN Johor yang dilakukan lebih awal berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujarnya, situasi berkenaan juga memberi mesej bahawa urusan kerajaan Persekutuan dan urusan kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju politik tidak semestinya perlu kekal seiring.

"Perkara jelas juga dari sudut pandang pentadbiran negeri adalah mereka telah berada pada posisi cukup stabil tanpa memerlukan sokongan luar sebagaimana yang diperlukan oleh Kerajaan Persekutuan hari ini," katanya kepada Sinar Premium.

Anis Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan PH Johor meletakkan harapan agar penubuhan Kerajaan Perpaduan dapat direalisasikan di negeri ini selepas PRK DUN Mahkota nanti.

Bagaimanapun Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya sedar semangat memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat demi agenda pembangunan dan ekonomi negara, jauh lebih utama membuatkan mereka akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan.

Malah, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menegaskan kerjasama sedia ada yang wujud antara BN dan PH di negeri berkenaan ketika ini juga harus dipertahankan meskipun tanpa penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Anis Anwar berkata, keputusan PRK DUN Mahkota boleh menjadi kayu pengukur untuk menilai sejauh manakah sokongan pengundi khususnya orang Melayu dan kaum lain terutama orang Cina terhadap UMNO-BN di Johor selepas mereka menerima sokongan jentera pilihan raya PH.

"Sekiranya kemenangan PRK Mahkota disumbang besar oleh pengundi Melayu, BN Johor sebagai parti pemerintah tunggal akan mengekalkan status quo.

"Manakala jika kemenangan itu disumbang besar oleh pengundi bukan Melayu, maka pucuk pimpinan UMNO perlu melakukan perubahan drastik dalam pentadbiran kerajaan negeri demi membolehkan BN terus bertahan pada pilihan raya akan datang," katanya.

Anis Anwar menegaskan halangan utama BN membentuk Kerajaan Perpaduan di Johor adalah sejauh manakah penerimaan pengundi Melayu dapat menerima kerjasama dengan PH terutama DAP.

"Kerjasama BN-PH telah memiliki beberapa kes duluan sejak PRN 6 Negeri 2023 sehinggalah PRK terkini di DUN Nenggiri yang telah menunjukkan kesan dan akibat terhadap UMNO-BN dalam kerjasama tersebut.

"Justeru, langkah berhati-hati oleh BN Johor perlu dibuat dalam mengemudi gelombang politik Melayu khususnya di Johor," katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, Johor menjadi satu-satunya negeri tidak menubuhkan Kerajaan Perpaduan kerana BN-UMNO mampu meneruskan kelangsungan politik dan meneruskan pentadbiran biarpun tanpa menjalinkan kerjasama dengan PH.

Mazlan berkata, situasi di Johor juga berbeza dengan fenomena berlaku di Putrajaya, Pahang, Perak dan Melaka di mana PH dan BN tidak boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan kerajaan negeri tanpa kompromi dan kerjasama kedua-dua koalisi berkenaan.

"Jadi kerajaan negeri Johor sekarang dikuasai BN-UMNO secara bersendirian tanpa kerjasama atau sokongan PH mahu pun parti lain.

"Justeru, cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor bakal menimbulkan lebih banyak masalah daripada manfaat kerana sudah ada pelantikan sama ada di peringkat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT) mahu pun penghulu dan sebagainya," katanya.