Kembalikan kuasa TYT Sabah lantik kerajaan minoriti

SHAH ALAM - Parti Warisan (Warisan) mengesyorkan kerajaan negeri Sabah mengembalikan semula kuasa budi bicara Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam membenarkan sesebuah parti memiliki jumlah kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu menubuhkan sebuah kerajaan minoriti.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, cadangan di bawah Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah itu amat penting untuk dikembalikan sekiranya Negeri di Bawah Bayu itu berdepan situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung dengan tiada parti tunggal yang mampu mencapai jumlah majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Jelasnya, melalui penubuhan kerajaan minoriti, parti terpilih kelak secara merit berhak menentukan sendiri pilihan gabungan parti tambahan bagi membentuk sebuah kerajaan yang memiliki legitimasi sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri.

“Melalui pengembalian semula kuasa Perkara 6 (7), parti yang memenangi kerusi DUN terbanyak sepatutnya diberi ruang untuk mengetuai kerajaan negeri dan menentukan parti mana mereka mahu bekerjasama bagi membentuk kerajaan campuran selepas itu.

“Dengan kaedah ini, rakyat tidak akan kecewa dengan berulangnya drama lompat parti dan sebarang gerakan mengumpul surat akuan bersumpah (SD) daripada mana-mana pihak pada saat parti yang memenangi kerusi terbanyak sepatutnya diberi peluang.

“Demi kepentingan suara rakyat Sabah, saya gesa kuasa Perkara 6 (7) ini dikembalikan semula kepada Yang di-Pertua Negeri sebelum PRN17 kerana saya percaya keputusan pilihan raya negeri akan datang akan mengulangi situasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada Sinar Premium.

**media[2806988]**

Pada Mei tahun lalu, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti dengan majoriti ADUN bersetuju Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri digugurkan.

Perkara 6 (7) adalah berkaitan panduan Yang di-Pertua Negeri bagi melantik Ketua Menteri dalam kalangan ADUN yang merupakan ketua parti atau gabungan politik yang menyertai pilihan raya negeri dan mendapat majoriti.

Dalam perkembangan lain, Darell menegaskan Warisan belum memutuskan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik bagi mendepani PRN17.

Tambahnya, Warisan juga masih mempertimbangkan keputusan sama ada akan berkolaborasi dengan parti-parti nasional dari Semenanjung Malaysia memandangkan di Sabah terdapat beberapa indikator menunjukkan rakyat Sabah mahu mencontohi semangat menyokong parti lokal di Sarawak.

“Warisan sebenarnya sudah lama mencontohi semangat parti lokal mendominasi politik Sarawak dengan cuba membuktikan pengaruh parti lokal penting dalam pembangunan negeri Sabah.

“Namun kita gagal PRN16 disebabkan rakyat Sabah masih tidak nampak impak dominasi kuasa parti lokal di Sabah sebagaimana nikmat politik dikecapi Sarawak.

“Warisan juga berbeza dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebenarnya hanya merupakan satu parti penjenamaan semula dari parti nasional seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Jadi sudah pasti semangat parti lokal dalam parti kami adalah lebih tulen,” katanya.