SEBUAH badan pemikir politik negeri Sarawak mengesyorkan supaya 35 peratus atau satu pertiga daripada kerusi Parlimen dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak, dan ia perlu dimuktamadkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Penasihat The Sarawak Initiatives, Profesor Dr James Chin berkata, tuntutan itu adalah selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ini yang menetapkan kedua-dua negeri Kepulauan Borneo itu perlu diberi hak 35 peratus daripada keseluruhan jumlah terkini kerusi Dewan Rakyat.
**media[2761974]**
Bagaimanapun, James menjelaskan tuntutan itu adalah tertakluk kepada jumlah kerusi tambahan yang bakal disyorkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan datang, bukan berpaksikan angka 222 kerusi Parlimen sedia ada.
Daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen sekarang, Sabah dan Sarawak ketika ini hanya diperuntukkan 57 kerusi atau 26 peratus, iaitu kurang 9 peratus daripada jumlah yang mahu dituntut.
Menurut James, tuntutan pengembalian semula nisbah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak itu juga perlu direalisasikan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini kerana tuntutan dikemukakan Sabah dan Sarawak adalah berasaskan persetujuan Jemaah Kabinet dan pengesahan melalui Mesyuarat Khas Malaysia 1963 (MKMA63) pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Apabila kedua-dua negeri itu memperoleh 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen, situasi itu akan mengukuhkan kepentingan hubungan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bersama Putrajaya.
“Secara mudahnya, Putrajaya tidak akan sewenang-wenangnya mengetepikan hak Sabah dan Sarawak dari sudut Perlembagaan Persekutuan.
“Jika nisbah itu tidak tercapai, kepentingan Sabah dan Sarawak akan diremehkan kerana keputusan ahli-ahli Parlimen dari Semenanjung secara bersama sahaja pun sudah cukup untuk meminda Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat,” katanya kepada Sinar Premium.
**media[2761975]**
Beliau berkata demikian bagi mengulas tuntutan beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak termasuk Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang menggesa Kerajaan Perpaduan mengembalikan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sebanyak 35 peratus seperti diputuskan dalam MA63.
Bagaimanapun, Abang Johari menyerahkan kepada SPR untuk menentukan jumlah kerusi dan kawasan Parlimen kepada kedua-dua negeri berkenaan, dengan syarat asas penambahan mesti berasaskan faktor populasi serta keluasan kawasan bukan bersandarkan kaedah 'seorang satu undi'.
TUNTUT KEMBALI HAK
Mengulas lanjut, James Chin turut menegaskan pengembalian nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak harus mengambil kira jumlah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak berkurangan daripada 35 peratus apabila Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965.
Apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara berdaulat pada 16 September 1963, Dewan Rakyat ketika itu dianggotai oleh 159 ahli Parlimen dengan 104 orang dari Tanah Melayu (kini Semenanjung Malaysia), Sarawak (24 orang), Sabah (16 orang) dan 15 ahli Parlimen daripada Singapura.
“Justeru, apabila Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia, 15 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada negara itu telah secara terus diagihkan kepada Semenanjung Malaysia dan keadaan ini menyebabkan kuorum Dewan Rakyat didominasi Semenanjung.
“Kalau kita hendak mengekalkan semangat MA63, maka satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ahli Parlimen mestilah diwakili oleh Sabah dan Sarawak dengan baki dua pertiga lagi dari Semenanjung,” tegas beliau.
Berikutan tuntutan terkini Sabah dan Sarawak berkenaan, James Chin mengakui terdapat kemungkinan usaha penambahan kerusi Parlimen melalui proses persempadanan semula kawasan pilihan raya meliputi seluruh negara akan dilaksanakan kelak.
“Segalanya bergantung kepada laporan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan.
“Namun saya menjangkakan usaha penambahan kerusi pilihan raya di seluruh negara belum tentu mampu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dalam sidang Dewan Rakyat pada tahun lalu telah menyatakan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia akan bermula pada tahun 2026.
Katanya, persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah pula akan bermula lebih awal iaitu pada tahun 2025.
Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya telah pun bermula di Sarawak tahun ini, Sabah pada tahun 2025, manakala Semenanjung Malaysia akan bermula prosesnya dalam tahun 2026.
Proses tersebut melibatkan SPR membuat kajian dalam tempoh dua tahun. Selepas tempoh itu satu, laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri.
Ramkarpal sebelum ini turut menjelaskan dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya terdapat banyak faktor akan diambil kira termasuk berkenaan nisbah pengundi di setiap kawasan.
Jelasnya, sama ada nisbah itu bersesuaian jika dibanding penduduk di Bangi kira-kira 300,000 berbanding Putrajaya yang mungkin lebih kurang dan ini semua akan diambil kira oleh SPR.