SHAH ALAM - Pas menyokong langkah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawabnya bawah undang-undang secara telus, adil dan tegas bagi memastikan ketidakpekaan, kecuaian atau kesilapan sama tidak berulang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas juga bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian.
"Sebagai warganegara, Pas percaya semua pihak wajib menunjukkan rasa hormat, bangga tertinggi terhadap simbol-simbol negara pada setiap masa dan keadaan sebagai cerminan jati diri kebangsaan serta patriotisme kita.
"Justeru, Pas mengalu-alukan tindakan dalaman diambil pihak-pihak terlibat berkait kes-kes yang berlaku ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Pas Terengganu memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan TMT 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.
Tambah Takiyuddin, Pas mengongsi sentimen dan gesaan banyak pihak supaya siasatan serta tindakan tegas diambil bawah undang-undang ke atas mana-mana pihak yang gagal menunjukkan kepekaan, rasa hormat sewajarnya terhadap simbol-simbol negara termasuk Jalur Gemilang.
Ujarnya, ia berikutan kekerapan berlakunya insiden sedemikian sejak kebelakangan ini melibatkan bukan sahaja individu tetapi juga organisasi media, badan politik malah kementerian kerajaan sendiri.
"Pas akui kejadian terbaru ialah kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu. Atas kesedaran tentang kekhilafan itu Pas Terengganu telah membuat permohonan maaf terbuka dan membetulkan kesilapan tersebut dengan kadar segera sebaik sahaja ditegur, malah mengambil tindakan terhadap petugas terlibat," katanya.