Nurul Izzah sedia sampaikan bantahan isu sambung kontrak Azam Baki kepada PMX

KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersedia menyampaikan bantahan terhadap keputusan penyambungan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diberi mandat dalam pemilihan parti akan datang.

Menurut Naib Presiden PKR itu, pendiriannya yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menyambung semula kontrak Azam masih kekal dan akan dibangkitkan menerusi saluran parti.

“Saya akan bercakap (mengenai Azam) dalam skop parti,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri program Pertemuan Khas Anggota & Pimpinan Keadilan Wilayah Persekutuan di sini pada Khamis.

Turut hadir, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor bersama beberapa calon lain yang bertanding dalam pemilihan parti Mei ini.

Pada 10 Mei lalu, Nurul Izzah lantang mengkritik pelantikan semula Azam Baki yang kini memasuki penggal ketiga sebagai peneraju SPRM, dengan Puteri Reformasi itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak wajar.

“Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku.

“Kita perlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti untuk membawa nafas baharu dan membuat pilihan lebih baik,” katanya menerusi catatan di X.

Dalam ucapannya semalam, Nurul Izzah turut mengenang kembali perjuangan awal parti itu yang bermula dari Kuala Lumpur serta pengalaman peribadinya bertanding buat kali pertama di kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Katanya, cabaran menentang penyandang ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan menteri dan Ketua Wanita UMNO Malaysia cukup menggetarkan jiwa.

“Saya masih ingat ditakdirkan bertanding di Lembah Pantai, kawasan yang Keadilan (PKR) tidak pernah menang.

“Nak kata tak takut, lawan Datuk Seri Shahrizat sebelum isu NFC pun sudah cukup mendebarkan... tapi kita lawan sebab ini sebahagian daripada proses perjuangan,” katanya.