Debat tak bawa manfaat, tidak sesuai dengan suasana politik semasa

SHAH ALAM - Debat antara calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar disifatkan tidak wajar untuk diadakan dalam suasana politik semasa yang memerlukan pendekatan berhemah.

Penganalisis politik dan Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, perdebatan tersebut tidak membawa manfaat kepada PKR yang kini sedang berusaha memulihkan sokongan terutama dalam kalangan pengundi Melayu.

Jelasnya lagi, walaupun Rafizi mempunyai kelebihan dari sudut fakta dan data, namun pendekatan perbahasan bukan sesuatu yang sesuai dengan jiwa masyarakat Melayu.

“Kalau berdebat ini, saya rasa bahawa kemenangan berpihak Rafizi tetapi, inikah yang diperlukan oleh PKR pada ketika ini?

“PKR ini bukanlah parti dominan dalam kerajaan, perkara ini akan menjadi sangat teruk terutamanya kepada pengundi Melayu, sebab orang akan melihat kepada sudut perbahasan itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata, tidak semua masyarakat awam berpaksikan kepada hujah intelektual dan fakta, sebaliknya lebih sensitif terhadap pertembungan sesama tokoh Melayu dalam parti sama.

Katanya, budaya berdebat juga bukan sesuatu yang digalakkan dalam masyarakat Melayu, malah tidak diraikan dari sudut agama.

Tambahnya lagi, tindakan Nurul Izzah menolak pelawaan debat Rafizi adalah langkah yang lebih wajar dan mencerminkan usaha menambat hati masyarakat Melayu.

“Dalam keadaan sekarang, Nurul Izzah mendapat kredit kerana memilih untuk tidak berdebat. Rafizi pula walaupun berfakta dan berdata, perlu sedar pendekatan itu bukan keutamaan,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, kewajaran mengadakan debat antara Rafizi dan Nurul Izzah boleh dinilai berdasarkan beberapa faktor debat seperti format, konteks dan masa ia diadakan.

“Jika debat distruktur dengan baik, difasilitasi secara profesional dan fokus kepada isu dasar serta bukan serangan peribadi, ia boleh dianggap wajar. Namun, jika masa tidak sesuai atau keadaan parti sedang tegang, debat mungkin akan memburukkan lagi keadaan.

“Kesimpulannya, kewajaran debat bergantung kepada objektifnya dan sama ada ia dapat dilaksanakan secara konstruktif yang menyumbang kepada proses demokrasi parti,” kata beliau.

Muhammad Afifi turut berpendapat, jika debat antara kedua-dua tokoh itu dilakukan, ia boleh mengeruhkan keadaan sedia ada dalam parti dengan mewujudkan persepsi ‘kem’ atau ‘kubu’ yang bertentangan.

“Boleh juga berlaku percanggahan pendapat ketara semasa debat dan mungkin akan dieksploitasi oleh pihak lawan politik untuk menggambarkan PKR sebagai parti yang tidak stabil atau berpecah,” tegas beliau.