Guna media sosial dekati pengundi PRU16 - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera parti mendekati dan mendampingi pengundi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan lagi dengan cara konvensional tetapi melalui pendekatan baharu menerusi medial sosial.

Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, kaedah lama sudah tidak lagi relevan dan gerak kerja jentera perlu mengikut kesesuaian serta keperluan semasa.

"Kita harus lihat semula pendekatan kita. Gunakan pendekatan baharu, pertamanya menerusi media sosial.

"Cara dulu sesuai dengan cara dulu, cara sekarang sesuai dengan cara sekarang, cubalah. Kalau saya bercakap dalam dewan ini hanya 600 atau 700 perwakilan yang dengar.

"Tapi kalau buat dalam media sosial, keluar secara live, 100,000 orang akan lihat. Bukan sahaja 100,000 orang tapi satu atau dua juta orang akan lihat asalkan kita jadi pempengaruh atau 'influencer' dan mesti ada kandungan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini pada malam Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Jazlan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.

Zahid berkata, bagi menarik pengundi baharu untuk menyokong UMNO, tidak boleh lagi bergantung kepada pengundi lama yang mengundi parti itu semasa PRU15 sebaliknya perlu menarik mereka yang tidak menyokong parti sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkiraan tersebut tidak relevan dan tidak boleh lagi dijadikan asas sokongan kukuh kepada parti sebaliknya pengundi atas pagar dan mereka yang tidak mempunyai parti perlu ditarik untuk menyokong UMNO.

Kata Zahid, UMNO perlu mengutamakan politik perkhidmatan dalam usaha menangani politik sentimen dan kebencian bagi menarik kembali sokongan orang Melayu.