'Royalti tidak diberi sebab politik' - MB Terengganu

BESUT - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyangkal dakwaan bahawa masalah integriti dan tata kelola kewangan tidak cekap antara punca royalti tidak diberikan kepada negeri itu.

Menurutnya, dakwaan itu disifatkan sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.

"Pada saya, itu pandangan tidak berasas, dan semua itu adalah politik.

"Saya boleh simpulkan itu adalah sebab politik dan selalu saya tekankan awal penggal 2018 lagi bahawa jika kita bergerak mengemudi kerajaan, tidak kira kerajaan negeri atau persekutuan tetapi menjadikan asas politik nombor satu akhirnya yang jadi mangsa adalah mereka tidak berparti dan juga rakyat awam," katanya.

Ahmad Samsuri ditemui pemberita sempena majlis Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Dataran Jabi di sini pada Khamis.

**media[2739521]**

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menghargai pengiktirafan Terengganu sebagai negeri paling telus dalam pengurusan Belanjawan.

Katanya, pengiktirafan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membuktikan komitmen dan kesungguhan negeri itu dalam menjaga harta rakyat.

"MyOBI adalah komitmen bagi pihak kerajaan negeri untuk memastikan bahawa projek yang dibentangkan dan dibelanjakan kepada rakyat itu transparent dan penuh integriti.

"Penilaian melalui sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang digunakan adalah berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa dan ia boleh dinaik taraf pada masa akan datang," katanya.

Sebelum ini, Terengganu diiktiraf sebagai antara negeri yang mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan.

Menurut kajian badan bebas IDEAS, pengiktirafan terhadap Kerajaan Terengganu bagi dua tahun berturut-turut itu dibuat berdasarkan sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang dibina berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa.

IDEAS dalam satu kenyataan berkata Indeks itu dibina mengikut tiga komponen utama iaitu kebolehancapaian awam terhadap dokumen belanjawan kerajaan negeri (termasuk laporan audit), peranan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam memantau belanjawan dan peranan orang awam dalam proses belanjawan.