PRK Sungai Bakap bagai buku bertemu ruas

DEMAM Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kini semakin memuncak setelah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengumumkan nama calon masing-masing.

PH terlebih dahulu menamakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai calon.

PN pula memberi kepercayaan kepada Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Nor Zamri Latiff.

**media[2693908]**

Atas kertas, peluang calon PH dan PN untuk menang kerusi DUN Sungai Bakap dalam PRK kali ini adalah 50-50. Unjuran ini meliputi pelbagai faktor termasuk kedua-dua mereka adalah merupakan tokoh anak tempatan.

Berikutan itu, tidak hairan jika koalisi PH-BN dan PN mengambil langkah pantas dengan mengumumkan nama calon masing-masing seminggu lebih awal daripada Hari Penamaan Calon, pada 22 Jun.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, antara faktor penentu kemenangan mana-mana parti di kerusi DUN Sungai Bakap adalah berlandaskan sejauh mana calon PH dan PN mempunyai kekuatan membawa penyokong tegar dan pengundi atas pagar mengundi parti masing-masing pada PRK itu.

**media[2693877]**

Sivamurugan berkata, Abidin mewakili PN mempunyai kelebihan sebagai pemimpin tempatan yang dikenali ramai selain berpengalaman luas di DUN Sungai Bakap susulan pernah menjadi pegawai khas kepada Allahyarham Nor Zamri.

Bagaimanapun, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan susulan Joohari mempunyai kekuatan jentera kerajaan di peringkat negeri dan pusat selaku calon Kerajaan Perpaduan.

Justeru, Sivamurugan berkata, Abidin memerlukan kerjasama dan bantuan seluruh jentera PN termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selain kekuatan Pas secara keseluruhan.

Berbeza dengan Joohari, calon PH itu pula memiliki kelebihan tersendiri dan tidak berdepan banyak tekanan setelah turun sebagai calon underdog (bukan pilihan).

“Joohari juga dilihat memiliki pakej lengkap calon boleh menang, bukan sekadar anak tempatan malah mempunyai kredibiliti dan reputasi tersendiri termasuk memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam seperti pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, berkhidmat selaku pendidik serta turut mempunyai latar belakang pendidikan agama.

“Joohari juga dari awal lagi sudah menjelaskan bahawa beliau tidak akan melakukan ‘pembunuhan karakter’ atau menyerang peribadi calon lawan serta berjanji untuk melaksanakan kempen secara integriti dan bermoral.

“Penegasan berkenaan mampu memberi nilai tambah dan menarik hati pengundi terutama penjawat awam untuk memilih beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap semasa hari pengundian pada 6 Julai nanti,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah Sivamurugan, Joohari juga mempunyai latar belakang pendidikan keagamaan cukup kuat untuk menyaingi calon Pas kerana pernah bergiat aktif sebagai ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Selain itu, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan keputusan koalisi PH-BN bertindak mengumumkan nama Joohari dua minggu lebih awal daripada tarikh penamaan calon bagi mengelakkan berlakunya isu cah keting dari kalangan mereka yang tidak terpilih sebagai calon.

“Ini bermakna PKR sudah mengambil kira faktor kemungkinan berlaku cah keting dalam parti itu dengan tempoh dua minggu sudah cukup untuk melegakan ketegangan, kegelisahan dan rasa kurang puas hati pemimpin PKR yang tidak terpilih sebagai calon,” tegasnya.

Majoriti pengundi Melayu

Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, beliau melihat peluang PH dan PN untuk memenangi kerusi DUN Sungai Bakap seimbang atau 50-50.

**media[2693892]**

Mazlan berkata, PN mempunyai kelebihan untuk mengekalkan status quo di DUN Sungai Bakap kerana mereka menyandang kerusi berkenaan dengan kelebihan majoriti lebih 1,500 undi dalam PRN lalu.

Tambahan pula, Mazlan berkata, kerusi DUN Sungai Bakap adalah kawasan majoriti pengundi Melayu yang sebahagian besarnya adalah penyokong PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dan PRN lalu.“Saya fikir Gelombang Hijau masih kuat di utara Semenanjung Malaysia, sekali gus meningkatkan peluang Pas untuk mengekalkan status quo di DUN Sungai Bakap pada PRK nanti.

“Bagaimanapun, PH juga mempunyai peluang merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap berdasarkan trend peningkatan sokongan pengundi Melayu dan penjawat awam termasuk pengundi pos kepada kerajaan Madani dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada bulan lalu,” jelasnya.

Mazlan berkata, kemenangan PH di PRK DUN Kuala Kubu Bharu menunjukkan peralihan sentimen pengundi yang mula merasai perubahan dibuat kerajaan Madani sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mazlan tidak menolak kemungkinan bahawa sentimen perubahan dibawa PH mungkin akan sedikit terencat berikutan kemarahan pengundi disebabkan tindakan Kerajaan Perpaduan melaksanakan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.

“PN pula mungkin berdepan masalah sabotaj dalaman kerana saya difahamkan perancangan asal Pas mahu meletakkan nama Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim sebagai calon, namun ia ditukar saat akhir.

“Malah, calon PN sekarang turut terpalit dengan kontroversi mengenai latar belakang pendidikannya yang bukan daripada kalangan ulama atau profesional,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula memuji tindakan PH meletakkan Joohari yang mempunyai latar belakang pendidikan dan agama yang tinggi sebagai calon, sekali gus mampu memberikan saingan sengit kepada PN.

**media[2693874]**

Beliau menegaskan, pencalonan Joohari juga membuka peluang lebih luas kepada PH-BN untuk merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap yang pernah menjadi kubu kuat PKR selama tiga penggal sebelum ini.

“Bagaimanapun, kemenangan PH-BN atau PN bergantung kepada strategi dan gerak kerja kempen, peratusan keluar mengundi dan isu tempatan serta nasional yang bakal digunakan parti bertanding semasa kempen PRK nanti,” tambahnya.

BIODATA

Calon PH

Nama: Dr Joohari Ariffin

Umur: 60 tahun

Asal: Permatang Pasir Seberang Perai, Pulau Pinang

Pekerjaan sebelum ini: Guru dan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara

Pendidikan: 1) Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya pada 1987

2) Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM)

Pengalaman: Aktif dalam kegiatan kemasrakatan dan kerja amal

Jawatan dalam parti: Tiada

Calon PN

Nama: Abidin Ismail

Umur: 56 tahun

Asal: Sungai Bakap

Jawatan dalam parti: 1. Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal

2. Pembantu bekas ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff

Pekerjaan sebelum ini: Eksekutif Logistik