SHAH ALAM - Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam menjadi antara penyumbang kepada berlakunya perubahan undi daripada anggota polis dan tentera dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, beliau tidak menolak faktor tersebut kerana tindakan kerajaan telah memberi kelegaan kepada kepada penjawat awam setelah lebih 10 tahun tiada kenaikan gaji dilaksanakan.
Selain itu, beliau berkata, pelbagai usaha lain dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan ekonomi negara juga menambahkan lagi keyakinan dalam kalangan anggota keselamatan terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Saya berpandangan swing vote ini berlaku disebabkan oleh bibit bibit keyakinan dalam kalangan anggota keselamatan terhadap Kerajaan Perpaduan setelah dipaparkan dengan pelbagai usaha oleh Perdana Menteri dan kerajaan, misalnya kerap bertemu dengan pelabur asing untuk menarik pelaburan masuk, sekali gus berupaya mengukuhkan semula ekonomi negara.
“Kemudian tindakan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang telah lama tidak dilaksanakan lebih 10 tahun yang lalu, sekali gus melegakan hati penjawat awam dan menggembirakan mereka.
“Keputusan menaikkan gaji penjawat awam sekurang-kurangnya 13 peratus merupakan langkah yang tepat bukan saja untuk memberi kesegaran semula kepada sektor perkhidmatan awam tetapi pada masa yang sama untuk menghargai peranan penjawat awam yang merupakan tulang belakang jentera kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Mohammad Tawfik, usaha yang dilakukan dalam tempoh pemerintahan ini disifatkan sebagai kunci penting yang berjaya ditemui kerajaan sehingga membawa kemenangan saluran pengundi awal.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan momentum tersebut mampu dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Selagi mana kepimpinan PH dan BN masih diterajui oleh orang yang sama, maka saya jangka momentum ini akan terus kekal dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.