Bersatu Selangor bentuk 12 portfolio hadapi PRK Kuala Kubu Baharu

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor membentuk 12 portfolio sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, portfolio itu dibentuk termasuk kerahan anak muda dan pengundi bukan Melayu untuk memperkemaskan jentera pilihan raya.

Menurut beliau, semua bahagian Bersatu dan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipertanggungjawabkan untuk menjaga 16 daerah mengundi di DUN berkenaan.

"Malam tadi (Isnin) saya mempengerusikan Mesyuarat Khas BPN Selangor bersama ADUN Bersatu Negeri Selangor.

"Perbincangan terkait dengan persiapan jentera PRK DUN Kuala Kubu Baharu dan saya membentangkan perincian data serta statistik bagi setiap 16 daerah mengundi dan juga prestasi undi awal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, mesyuarat itu juga membincangkan strategi pintar dan inovasi bagi melonjakkan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN).

Ujar beliau, bahan cetakan termasuk risalah sudah disediakan untuk mengupas isu-isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

"Logistik dan bahan kempen seperti bendera dan kain rentang akan tiba di lapangan dalam minggu ini," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, parti itu komited meningkatkan jentera dan gerak kerja pilihan raya di lima daerah mengundi.

Jelas beliau, parti itu juga bersetuju membentuk jawatankuasa khas bagi menarik sokongan pengundi dalam kalangan kaum India dan Orang Asli.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian, Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu yang cukup bersemangat untuk menggarap seluruh kekuatan tenaga dan pemikiran bagi membina kekuatan jentera PN di KKB (Kuala Kubu Baharu)," tambah beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28