'Bersumpah guna kalimah ALLAH, tak takut dilaknat?'

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari tidak sewajarnya memperalatkan kalimah ALLAH SWT dalam bersumpah sewaktu menyatakan kesetiaan terhadap parti, demi kepentingan politik peribadi.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, susulan tindakan bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Bersatu itu mengisytiharkan peralihan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di Selangor, beliau kesal keputusan itu dibuat selepas Abdul Rashid melafazkan sumpah setia bersama parti di bawah kalimah 'wallahi wabillahi watallahi' sewaktu dipilih sebagai calon pilihan raya.

**media[2568508]**

Jelasnya, amalan sebegini juga dilihat semakin berleluasa dalam kalangan pemimpin Islam lain terutama UMNO dan bagi Ahmad Faizal, ia satu trend membimbangkan.

"Sebelum ini kita dengar dalam (PAU) Perhimpunan Agung UMNO, ada orang buat janji 'No Anwar, No DAP dan No Bersatu'.

"Lepas itu, Datuk (Seri) Ahmad Maslan (bekas Setiausaha Agung UMNO) ada sebut Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pernah bersumpah dengan kalimah 'wallahi wabillahi watallahi' kononnya tidak akan sesekali bekerjasama dengan Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP.

"Sekarang anda lihat apa yang telah jadi? Sama juga dengan Datuk (Abdul) Rashid. Beliau alih sokongan terhadap Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) pada saat beliau telah bersumpah dengan kalimah 'wallahi wabillahi watallahi' untuk taat setia kepada parti.

"Jangan guna kalimah ALLAH (SWT) untuk tujuan politik peribadi. Bila kita dilaknat rakyat atau parti, kita mungkin masih boleh bertahan. Tetapi kalau kita dilaknat ALLAH kelak, jangan dibuat main," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata demikian bagi mengulas keputusan Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tindakan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu amat mengejutkan, di tengah-tengah ketetapan parti itu meluluskan pindaan Perkara 10 perlembagaan parti selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang minggu lalu.

Selain Abdul Rashid yang menyokong Kerajaan Madani Selangor, terdapat enam ahli Parlimen Bersatu yang turut menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal turut mempersoalkan motif Abdul Rashid yang menggunakan alasan ketiadaan peruntukan kawasan sebagai antara faktor beliau beralih sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).

Ujarnya, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lalu menyaksikan kerajaan negeri telah mengumumkan penyaluran peruntukan awal berjumlah RM1.1 juta kepada 22 ADUN pembangkang di negeri itu.

"Kalau guna alasan tidak dapat peruntukan pembangunan kawasan DUN, kerajaan Selangor dalam sidang DUN sebelum ini telah umum ADUN pembangkang akan dapat peruntukan.

"Justeru, apa lagi yang hendak dikejar Abdul Rashid?" katanya.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu juga berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dapat bersikap adil dalam meluluskan segera permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dikemukakan parti berkenaan selepas EGM tempoh hari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

'Bersumpah guna kalimah ALLAH, tak takut dilaknat?' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Politik #Bersatu #ADUN #Sumpah #ALLAH

Supplication - Sami Yusuf