IPOH - Kenyataan seorang pemimpin Pemuda Pas yang menyamakan peranan wanita dalam kepimpinan dengan 'lembu betina' disifatkan sebagai biadab.
Ketua Puteri UMNO Perak, Sarah Syazwani Saari berkata, kenyataan itu telah menghina martabat wanita secara keseluruhan.
Menurut beliau, kata-kata dan sikap seorang pemimpin mencerminkan nilai dan prinsip yang dibawa.
"Apa yang dilontarkan ini jelas membuktikan betapa ceteknya pemikiran politik sesetengah pihak yang masih memilih untuk berpolitik secara menghina dan menyerang peribadi khususnya terhadap kaum wanita.
Wanita dalam politik bukan hanya hiasan sebaliknya kami adalah penggerak komuniti, pembuat dasar, dan penyumbang aktif kepada pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sarah Syazwani berkata, penghinaan yang dilontarkan itu tidak mencerminkan kematangan demokrasi sebaliknya mencerminkan budaya politik murahan, seksis dan tidak beradab.
Tambah beliau, pihaknya berasa kecewa apabila kenyataan tersebut dipertahankan oleh pemimpin parti sendiri sekaligus menunjukkan bahawa budaya misoginis dan penghinaan terhadap wanita kini dijadikan modal politik oleh pihak tertentu.
"Puteri UMNO Perak menegaskan bahawa wanita wajar dihormati, bukan dijadikan bahan penghinaan demi kepentingan politik sempit.
"Politik yang mencederakan maruah dan integriti hanya akan membawa perpecahan dan kebencian, bukan kemajuan," katanya.
Sarah Syazwani berkata, Pemuda Pas diminta membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan itu selain menggesa semua parti politik mendidik pemimpin mereka agar lebih bertanggungjawab dalam ucapan dan tindakan.
Pada Isnin, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi dalam satu hantaran di media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.
Menurutnya, dalam pengurusan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, waktu berehat dan waktu pulang, manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.