KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) mencabar pembangkang untuk segera mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
AMH dalam kenyataan bersama berkata, sekiranya pembangkang tidak berani membawa atau gagal menjayakan usul itu, mereka perlu akur serta memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif dan bertanggungjawab.
Menurut AMH, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, sambil menegaskan bahawa pelan itu adalah hala tuju nasional berteraskan pembangunan ekonomi berasaskan nilai, reformasi institusi, dan pengagihan saksama kepada semua rakyat.
“AMH menyeru semua ahli Parlimen membahaskan RMK13 secara matang, profesional dan berasaskan fakta. Membandingkan ketebalan pelan tanpa meneliti isi kandungannya adalah politik murahan yang tidak membantu negara,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan AMK merangkap Naib Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Pemuda UPKO, Fardy Bungga; Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin; dan Ketua Biro Komunikasi WARDA, Siti Nur Aisyah Mohamad Zain.
Dalam pada itu, mesyuarat AMH yang berlangsung pada 7 Ogos lalu turut membincangkan beberapa isu semasa melibatkan politik negara dan kedudukan anak muda, sekali gus menyatakan pendirian tegas terhadap pelbagai perkara.
Pada masa yang sama, AMH turut berikrar untuk menggerakkan siri jelajah, wacana dan dialog di seluruh negara bagi menjelaskan agenda reformasi kerajaan Madani kepada rakyat serta memastikan suara masyarakat didengar secara langsung.
AMH juga mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh, yang didakwa menghina golongan orang kurang upaya (OKU) dalam reaksinya terhadap pengkritik.
“Kenyataan beliau seolah-olah menghantar mesej bahawa semua yang tidak bersetuju dengannya wajar diberikan kad OKU. Menggunakan golongan OKU sebagai bahan jenaka politik adalah diskriminasi keji dan tidak bertanggungjawab.
"Dr Akmal harus memohon maaf secara terbuka kepada seluruh warga OKU di Malaysia,” tegas kenyataan itu.
Selain itu, AMH turut beriltizam untuk menggerakkan Jawatankuasa Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipimpin Ketua AMH, YB Woo Kah Leong, bagi merangka strategi ke arah pemansuhan AUKU 1971, yang didakwa mengekang kebebasan gerakan mahasiswa.
AMH turut menyatakan solidariti kepada Naib Ketua Pemuda AMK, Nabil Halimi yang disaman RM1 juta oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurut kenyataan itu, tindakan Nabil hanyalah bentuk ekspresi berlandaskan hak asasi dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Dalam isu memperkasakan anak muda, AMH berharap mekanisme pelaksanaan had umur 30 tahun untuk belia dapat ditambah baik agar selaras dengan keperluan persatuan belia serta mengambil kira realiti sosioekonomi dan kesinambungan kepimpinan.
“Dasar ini mesti memastikan penglibatan inklusif semua pihak berkepentingan, khususnya belia, demi menjamin keberkesanan gerakan belia,” jelasnya.
AMH menegaskan akan kekal sebagai benteng anak muda dalam memperjuangkan prinsip reformasi, keadilan sosial dan ruang demokratik, selain menyeru semua pemimpin muda pelbagai parti bersatu mempertahankan maruah rakyat dan menolak politik murahan yang memecah-belahkan bangsa.