Hentikan politik ekstrem berbaur perkauman - King Sing

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh agar menghentikan politik ekstrem berbaur perkauman berikutan keputusan mengiktiraf bak kut teh sebagai hidangan warisan negara.

King Sing berkata, ia bukan kali pertama Exco Kerajaan Negeri Melaka itu memainkan isu perkauman dan agama.

Menurutnya, isu bak ku teh yang dibangkitkan Muhamad Akmal itu hanyalah satu daripada 10 hidangan baharu yang termasuk dalam senarai makanan warisan negara.

“Bak merujuk kepada daging, saya telah beberapa kali menekankan bahawa herba yang digunakan adalah halal dan jenis daging boleh bertukar.

“Kalau tambah ayam, ia akan menjadi chi kut teh, jika makanan laut maka ia seafood kut teh dan kambing akan jadi kambing kut teh.

“Sebaliknya, beliau (Muhamad Akmal) banyak kali menyebut babi bak kut teh sedangkan bak membawa maksud daging secara umum malah bukannya babi sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin pada 24 Februari lalu mengumumkan bak kut teh, burasak, mi kolok dan nasi ambeng antara 10 jenis hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024.

Susulan itu, Muhamad Akmal memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memecat menteri yang terlibat dalam membuat keputusan mengiktiraf bak kut teh sebagai hidangan warisan negara.

Beliau berkata, menteri berkenaan gagal memikirkan sensitiviti rakyat di negara ini maka sudah tiba masanya Perdana Menteri mengambil tindakan sedemikian.

Dalam pada itu, King Sing berkata, beliau tidak akan memaksa orang ramai melanggar peraturan atau amalan agama sesiapa menerusi pengiktirafan makanan warisan tersebut.

“Di MOTAC juga terdapat ramai pemimpin dan kakitangan beragama Islam, sudah tentu saya amat memahami serta menghormati semua pihak.

“Kita semua perlu saling menghormati dan mempromosikan warisan negara, jika bukan kita sendiri, siapa lagi yang akan mengiktiraf?

“Bukankah kepelbagaian dan kemajmukan merupakan keunikan Malaysia?” ujarnya.