SHAH ALAM - Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melanggar pendirian parti dijangka kembali dan menolak sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika pindaan Perlembagaan parti diluluskan.
Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaharul Abdullah berkata, pindaan tersebut bukan sahaja menutup kelompongan dalam Akta Anti Lompat Parti, malah mampu menghalang sebarang tindakan untuk menyokong pihak lawan.
Katanya, mereka tidak akan memilih untuk bertukar parti dan bertanding sebagai calon Bebas bagi mengekalkan kerusi masing-masing.
“Sekiranya ahli-ahli Parlimen tekuntuk bertukar parti dan PRK dilaksanakan, saya tidak melihat bahawa mereka dapat mempertahankan kerusi mereka lebih-lebih lagi apabila bertanding sebagai calon Bebas.
“Tindakan meminda Perlembagaan parti yang dibuat Bersatu bakal menutup kelompangan dan kelemahan Akta Anti Lompat Parti,” katanya kepada Sinar Ahad. Menurut Zaharul, gelombang Perikatan Nasional (PN) yang masih menebal dalam kalangan pengundi Melayu mampu memberi kemenangan lebih baik jika PRK dilaksanakan.
Katanya, ia berdasarkan isu semasa dalam negara apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa sering mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam.
“Berdasarkan gelombang undian terhadap PN, saya melihat ini merupakan peluang terbaik untuk meraih kemenangan sekali lagi dan sekali gus menyokong pendirian Bersatu,” katanya.