UNESCO tidak akan lulus gazet kampung baru Cina

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak akan meluluskan cadangan mewartakan tujuh kampung baru Cina di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia sekali pun ia diluluskan di peringkat Kabinet.

Beliau berkata, ini kerana dokumentasi kewujudan kampung-kampung baru Cina berkenaan sebagaimana dicadangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak memenuhi kriteria diperlukan UNESCO bagi membolehkan ia digazetkan sebagai tapak warisan dunia.

**media[2540738]**

Jelas Mohamad Khir, tapak yang bersetuju dicalonkan kepada UNESCO mesti mempunyai 'nilai sejagat luar biasa' serta memenuhi sekurang-kurangnya satu daripada sepuluh kriteria peradaban budaya dan kelestarian alam sebagaimana digariskan pertubuhan berkenaan untuk diluluskan.

"Bagaimanapun, tujuh kampung baru Cina yang dicadangkan Kor Ming tidak mempunyai nilai sejarah yang luar biasa, melebihi usia 100 tahun untuk membolehkan kawasan itu diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Kena faham, langkah kerajaan terdahulu mewujudkan kampung baru Cina dan Melayu pada zaman pentadbiran British adalah bagi memindahkan penduduk dari kampung asal susulan ia terdedah kepada ancaman komunis.

"Justeru, kampung baru Cina boleh dianggap tiada nilai estetika sejarah kerana usaha kerajaan menentang pendudukan komunis di kampung-kampung Cina yang asal, hakikatnya tidak menyentuh aspek kebudayaan dan peradaban negara-negara kolonial Barat yang lazimnya mempunyai suara besar dalam UNESCO," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

**media[2540778]**

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Kor Ming agar tujuh kampung daripada 613 kampung baru di seluruh negara dicalonkan untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ia terdiri daripada Kampung Baru Berapit di Bukit Mertajam Pulau Pinang, diikuti enam lagi kampung baru membabitkan Selangor, Perak, Melaka dan Johor.

**media[2540739]**

Tegas Kor Ming, tujuh kampung itu dipilih oleh Jabatan Warisan Negara berdasarkan kelayakan yang membolehkan tersenarai dalam pencalonan berkenaan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan hebat majoriti pemimpin UMNO yang menyifatkannya sebagai provokatif, sebelum ditarik balik oleh Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Setakat ini, UNESCO sudah mengiktiraf lima tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak (2000), Taman Negara Kinabalu di Sabah (2000), Bandaraya Melaka di Melaka (2008), George Town, Pulau Pinang (2008) dan Lembah Lenggong, Perak (2012).

Mengulas lanjut, Mohamad Khir mengambil contoh pemilihan Bandaraya Melaka dan George Town, Pulau Pinang sebagai tapak warisan dunia UNESCO kerana kawasan itu kaya dengan pelbagai sejarah kebudayaan dan peradaban negara-negara kolonial seperti British, Portugis dan Belanda.

Ujarnya, Kor Ming perlu memahami asas kriteria pemilihan UNESCO terlebih dahulu sebelum bersifat semberono mengemukakan cadangan kontroversi berkenaan.

"Kena faham, pembentukan kampung baru Cina sebenarnya menggambarkan ancaman komunis di negara kita adalah serius pada ketika itu. Namun British tidak pernah sesekali mengiktiraf komunis.

"Jadi, ini sebab utama pemimpin UMNO tidak sokong cadangan Kor Ming kerana mereka turut menyedari pemilihan kampung baru Cina tidak akan memenuhi kriteria ditetapkan UNESCO," jelasnya.