'Najib tidak boleh bertanding PRU16'

SHAH ALAM - Peluang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada 2027 mustahil berlaku sekiranya beliau tidak mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

Pakar Undang-undang dan perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, ini kerana mana-mana individu yang disabitkan bersalah dan dihukum penjara hanya dibolehkan bertanding dalam pilihan raya selepas lima tahun daripada tarikh tamat hukuman.

Menurutnya, ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi peruntukan perkara 48 (1) (e) dibacakan bersama dengan 48 (3) mengenai kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.

"Di bawah perkara 48 (3) itu juga mengatakan sekiranya seseorang itu mendapat pengampunan penuh atau pengampunan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong, maka dia boleh bertanding walaupun tidak cukup lima tahun (daripada tarikh pembebasan).

"Bagi kes Datuk Seri Najib ini beliau bukan mendapat pengampunan di mana semua kesnya itu dihapuskan tetapi (hanya) dikurangkan) sahaja. Maksudnya di sini beliau masih lagi banduan dan masih lagi menjalani hukuman. Jadi buat masa sekarang beliau tidak boleh menjadi ahli Parlimen atau bertanding dalam pilihan raya.

"Kalau ikut status quo (keputusan Lembaga Pengampunan), Datuk Seri Najib akan menjalani hukuman penjara sehingga 2028. Jadi kalau PRU16 berlangsung pada 2027-2028 peluang untuk beliau bertanding tidak ada jika beliau dikekalkan bersalah atau tidak mendapat pengampunan penuh," katanya kepada Sinar Ahad.

**media[2525019]**

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk bertanding dalam PRU16 berikutan terdapat gesaan daripada penyokong yang mahukan beliau bertanding dan menjadi Perdana Menteri semula.

Perkembangan terbaru itu timbul susulan pengumuman Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib semasa mesyuaratnya yang ke-61 pada 29 Januari lepas.

Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Bekas Presiden UMNO itu akan berusia 78 tahun berdasarkan tempoh pembebasan pada tahun 2028.

Sementara itu, peguam, Haniff Khatri Abdulla tidak menolak kemungkinan Najib berpeluang dibebaskan lebih awal iaitu pada Ogos 2025 sekiranya membuat permohonan kepada Lembaga Parol di bawah Seksyen 46E Akta Penjara.

Beliau berkata, berdasarkan akta itu, mana-mana banduan yang telah menjalani 50 peratus hukuman penjara boleh membuat permohonan untuk menjalani hukuman di mana-mana alamat kediaman mengikut syarat lembaga tersebut.

"Jadi, jangan terkejut apabila tibanya 2025 nanti akan ada pengumuman daripada Lembaga Parol yang Najib dilepaskan untuk menjalani baki hukuman di rumah," katanya.